TERKINI
RAKYAT BANGGI MASIH MENUNGGU NIKMAT PEMBANGUNAN ASAS
Infra & Kemudahan Awam 3 min baca 256 tontonan

RAKYAT BANGGI MASIH MENUNGGU NIKMAT PEMBANGUNAN ASAS

Ringkasan

Khairuddin Daud kecewa kemudahan asas di beberapa kampung Pulau Banggi masih daif, dengan penduduk bergantung pada perigi berkarat, generator...

Admin
Admin
KUDAT, 6 Jun – Naib Ketua Wira Pusat Parti Warisan merangkap Ketua Wira P167 Kudat, Khairuddin Daud, melahirkan rasa kecewa terhadap keadaan kemudahan asas di beberapa kampung di Pulau Banggi yang menurutnya masih jauh ketinggalan walaupun Sabah telah merdeka lebih enam dekad lalu.

Beliau berkata, Kampung Dogoton, Kampung Rahmat dan Kampung Semayan merupakan antara contoh jelas kegagalan menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya kepada rakyat.

“Di saat banyak kawasan lain menikmati bekalan air bersih yang sempurna, penduduk di ketiga-tiga kampung ini masih bergantung kepada perigi yang dibina sendiri untuk mendapatkan sumber air harian. Lebih menyedihkan, perigi yang digunakan bukanlah perigi yang dibina mengikut spesifikasi yang selamat, sebaliknya menggunakan tong drum lama yang ditanam di dalam tanah.”

Menurut beliau, keadaan tong drum yang telah berkarat dan terdedah kepada pencemaran menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan serta keselamatan air yang digunakan oleh penduduk untuk minum, memasak dan kegunaan harian.

“Ini bukan isu baharu. Punca utamanya ialah paip bekalan air daripada Jabatan Air Sabah masih belum sampai ke kampung-kampung berkenaan. Bayangkan, pada tahun 2026 masih ada rakyat yang terpaksa bergantung kepada air daripada perigi berkarat untuk meneruskan kehidupan.”

Menyentuh isu bekalan elektrik, beliau berkata keadaan di kampung-kampung tersebut juga amat menyedihkan apabila sebahagian besar penduduk masih belum menikmati bekalan elektrik yang sempurna.

“Penduduk yang mempunyai kemampuan kewangan bolehlah membeli generator sendiri untuk menerangi rumah mereka. Namun bagi keluarga yang kurang berkemampuan, mereka tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada pelita dan lilin setiap malam. Keadaan ini menjejaskan proses pembelajaran anak-anak, keselamatan keluarga dan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan.”

Dalam masa yang sama, Khairuddin turut membangkitkan masalah jalan raya yang menurutnya telah lama dibiarkan tanpa penyelesaian.

“Sebahagian jalan yang digunakan penduduk hari ini sebenarnya merupakan laluan bekas pembalakan yang ditinggalkan. Jalan kayu balak yang rosak, berlumpur dan tidak disenggara menjadi satu-satunya laluan utama penduduk.”

Beliau berkata perjalanan dari kampung menuju ke Jeti Karakit boleh mengambil masa sehingga dua jam bergantung kepada keadaan jalan.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat jambatan-jambatan yang telah rosak tetapi tidak dibaiki. Ada penduduk yang pernah terkandas dan terpaksa bermalam di dalam hutan kerana laluan tersebut tidak dapat dilalui akibat kerosakan jambatan dan keadaan jalan yang terlalu teruk.”

Menurut beliau, penduduk semakin kecewa kerana merasakan suara mereka tidak didengari dan masalah yang dihadapi sejak sekian lama tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Rakyat sering mengadu bahawa wakil rakyat jarang turun padang untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang mereka hadapi. Masalah air, elektrik dan jalan raya ini bukan perkara yang boleh diselesaikan hanya dengan laporan di atas kertas. Pemimpin perlu turun ke kampung, melihat sendiri kesusahan rakyat dan membawa penyelesaian yang nyata.”

Khairuddin menegaskan bahawa rakyat Banggi tidak meminta kemewahan, sebaliknya hanya menuntut hak mereka untuk menikmati kemudahan asas yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan.

“Air bersih, bekalan elektrik dan jalan raya yang selamat bukanlah satu kemewahan. Ia adalah keperluan asas. Selagi masih ada rakyat yang minum air daripada perigi berkarat, menggunakan pelita untuk menerangi rumah dan meredah jalan balak yang rosak untuk mendapatkan keperluan harian, selagi itulah pembangunan di Banggi belum boleh dianggap berjaya.”

Beliau menyeru kerajaan dan wakil rakyat yang bertanggungjawab agar segera turun padang dan mengambil tindakan konkrit bagi menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu penduduk di Pulau Banggi.

Tangki berkarat.

Jambatan daif

Jambatan daif

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk