KENYATAAN MEDIA THAM YUN FOOK ADUN N19 LIKAS TERHADAP KENYATAAN TENGKU RAZALEIGH HAMZAH VETERAN UMNO
Saya memandang serius kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dalam wawancara bersama Free Malaysia Today pada 27 Mac yang mendakwa rakyat Sabah dan Sarawak kononnya mengelirukan autonomi dengan kemerdekaan.
Kenyataan ini bukan sahaja tidak tepat, malah memperlihatkan satu pandangan yang dangkal terhadap realiti sebenar di Sabah.
Sebagai anak jati Sabah dan ADUN Likas, saya ingin menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak pernah keliru. Yang menjadi persoalan selama ini bukan kefahaman, tetapi kegagalan berterusan pihak tertentu untuk menghormati dan melaksanakan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Adalah tidak wajar untuk menggambarkan tuntutan rakyat Sabah sebagai satu bentuk kekeliruan, sedangkan hakikatnya ia adalah satu tuntutan yang sah, berlandaskan sejarah, perjanjian dan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan seperti ini juga seolah-olah cuba memperkecilkan suara rakyat Sabah, seakan-akan kami tidak memahami kedudukan kami sendiri dalam Persekutuan Malaysia. Hakikatnya, rakyat Sabah sudah terlalu lama bersabar dengan pelbagai janji yang masih belum ditunaikan sepenuhnya.
Isu sebenar adalah soal ekuiti dan pelaksanaan, bukannya kekeliruan. Sabah tidak pernah menuntut sesuatu yang melampaui batas, kita hanya menuntut apa yang telah dipersetujui sejak awal pembentukan Malaysia.
Sekiranya ada kekeliruan, ia bukan datang daripada rakyat Sabah, tetapi daripada mereka yang masih gagal memahami semangat sebenar Persekutuan Malaysia sebagai satu perkongsian yang adil antara wilayah.
Pemimpin veteran seperti Tengku Razaleigh seharusnya memainkan peranan untuk memperkukuhkan kefahaman ini, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat atau meremehkan tuntutan sah negeri-negeri di Malaysia Timur.
Sabah tidak keliru. Sabah sedar. Sabah menuntut haknya.
Sekian, terima kasih.
THAM YUN FOOK
ADUN N19 LIKAS