KUDAT, 11 Mei 2026: Kenyataan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib bahawa tiada lagi sekolah daif di Sabah disifatkan sebagai terlalu sempit dan tidak menggambarkan realiti sebenar pendidikan di negeri ini.
Naib Ketua Wira WARISAN, Khairuddin Daud berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya menilai isu pendidikan berdasarkan keadaan fizikal bangunan sekolah semata-mata sedangkan masalah keciciran pendidikan di Sabah masih membimbangkan, khususnya di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil.
Menurut beliau, isu pendidikan di Sabah tidak boleh dilihat hanya daripada sudut pembangunan infrastruktur kerana masih ramai anak-anak negeri ini berdepan kesukaran untuk meneruskan persekolahan.
“Masalah pendidikan di Sabah bukan hanya soal bangunan sekolah. Realiti yang lebih membimbangkan ialah masih ramai pelajar tercicir akibat kemiskinan, jarak sekolah yang jauh, masalah pengangkutan serta akses internet yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu lebih jujur dan realistik dalam menilai keadaan sebenar pendidikan di Sabah kerana cabaran utama hari ini adalah memastikan setiap pelajar dapat kekal dalam sistem pendidikan sehingga tamat persekolahan.
Katanya lagi, Sabah masih menjadi antara negeri yang diberi perhatian khusus dalam menangani isu murid tercicir terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kerajaan negeri tidak boleh terlalu selesa dengan naratif bahawa tiada lagi sekolah daif sedangkan cabaran sebenar pendidikan masih menghantui ribuan pelajar di Sabah.
“Tidak cukup sekadar mempunyai bangunan sekolah yang cantik jika masih ramai pelajar gagal kekal dalam sistem pendidikan,” katanya.
Khairuddin berkata agenda pendidikan Sabah perlu memberi fokus kepada pengurangan kadar keciciran pelajar, penambahbaikan akses pendidikan di kawasan pedalaman, bantuan pengangkutan dan asrama pelajar serta peningkatan capaian internet untuk pembelajaran.
Tambah beliau, pendidikan bukan sekadar soal infrastruktur tetapi soal masa depan anak-anak negeri yang memerlukan peluang pendidikan yang adil dan menyeluruh.