KENYATAAN MEDIA: 19 MAC 2026 -
Saya menyokong
pandangan Dr. Jeffrey Kitingan bahawa bekalan beras di Sabah masih
banyak bergantung kepada stok serta sistem pengedaran yang diuruskan
oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan bukannya dikawal secara
langsung oleh Kerajaan Negeri Sabah. Keadaan ini meletakkan Sabah
dalam kedudukan yang terdedah kepada sebarang gangguan bekalan dari
luar.
Apabila negara
pengeksport utama seperti India dan Vietnam menghadkan eksport beras
putih mereka pada pertengahan tahun 2023 akibat fenomena El Niño,
Warisan merupakan antara pihak terawal di negara ini yang
membangkitkan kebimbangan terhadap potensi kenaikan harga beras
import.
Malangnya,
amaran tersebut tidak diendahkan sama ada oleh Kerajaan Negeri
mahupun Kerajaan Persekutuan, walaupun terdapat petunjuk jelas
tekanan harga, termasuk di negara jiran seperti Filipina.
Menjelang
pertengahan tahun 2024, kebimbangan Warisan menjadi kenyataan apabila
krisis bekalan beras melanda negara. Dalam tempoh itu, pelbagai
dakwaan turut tersebar di media sosial, termasuk tuduhan bahawa
pengilang mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan
menjualnya sebagai beras import — satu keadaan yang menjejaskan
keyakinan awam terhadap integriti rantaian bekalan makanan negara.
Pada tahun yang
sama, Warisan melalui Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah
Majilis telah membangkitkan persoalan di Parlimen sama ada kebenaran
boleh diberikan kepada Sabah untuk mengimport sendiri beras putih.
Namun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu
menjawab bahawa dasar mengekalkan Bernas sebagai pengimport dan
pengedar tunggal adalah pendekatan terbaik untuk negara.
Dalam konteks
ini, pandangan Jeffrey bahawa tiada jaminan mutlak Bernas mampu
memastikan bekalan beras import yang mencukupi ke Sabah — sama ada
melalui kuota atau mekanisme lain — adalah berasas. Apa yang wujud
setakat ini hanyalah jaminan dasar, bukan kepastian bekalan.
Namun isu
sebenar bukan terletak pada Bernas semata-mata. Persoalan sebenar
ialah tahap komitmen dan keutamaan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan
Hajiji Mohd Noor, serta keikhlasan dan keprihatinan Kerajaan
Persekutuan dalam menangani tekanan yang dihadapi Sabah berkaitan
bekalan beras, sama ada tempatan mahupun import.
Realitinya,
selagi Sabah belum mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak
60% menjelang tahun 2030 dalam pengeluaran beras tempatan, selagi
itulah kita akan terus bergantung kepada beras import yang dikawal
oleh Bernas.
Namun, untuk
mencapai SSL yang munasabah, kos yang besar diperlukan bagi
membangunkan infrastruktur pengairan Sabah — termasuk sistem
terusan dan pengurusan air — yang menelan belanja puluhan hingga
ratusan juta ringgit, serta lazimnya bergantung kepada kelulusan dan
peruntukan dari Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia.
Biarpun harga
beras global akan melonjak naik akibat fenomena El Niño/La Niña
atau konflik geopolitik, Bernas akan terus membekalkan beras import
ke Sabah. Kos tambahan akibat kenaikan beras global ini pula akan
ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk subsidi. Saya
berharap tiada pihak yang akan menggunakan pembayaran subsidi ini
untuk menuntut “rasa terhutang budi” daripada rakyat Sabah.
Ini adalah
kerana Sabah tidak memerlukan simpati atau kebergantungan
berpanjangan sekiranya Kerajaan Persekutuan menunaikan hak 40% hasil
bersih seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Dana
ini boleh dimanfaatkan untuk membangunkan infrastruktur pengairan
secara menyeluruh, sekali gus membolehkan Sabah mencapai SSL dan
berdikari dalam bekalan beras.
Peranan Ketua
Menteri, Hajiji Mohd Noor, juga amat penting dalam mengangkat
keperluan mendesak untuk berdikari ini kepada perhatian Perdana
Menteri, Anwar Ibrahim. Seperti yang ditunjukkan oleh Menteri Besar
Kedah, Mohd Sanusi Nor, yang konsisten memperjuangkan usaha
meningkatkan produktiviti padi — sehingga negeri tersebut menerima
kira-kira RM1 bilion insentif melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda
(MADA) — pendekatan serupa perlu diperjuangkan untuk Sabah.
Usaha untuk
menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah mungkin merupakan satu langkah
ke hadapan, namun ia tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu SSL.
Hakikatnya, pembangunan industri padi Sabah memerlukan komitmen
kewangan berskala besar serta perancangan jangka panjang yang serius.
Sebagai anak
Sabah dari Kota Belud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, juga perlu memainkan peranan
yang lebih proaktif. Selaras dengan seruannya agar rakyat bersedia
menghadapi ketidaktentuan global, beliau juga wajar membawa cadangan
kepada Kabinet Persekutuan untuk memberikan autonomi kepada Sabah
bagi mengimport beras secara sendiri sekiranya krisis bekalan
berulang.
Enam tahun di
bawah pentadbiran GRS telah berlalu, namun masih tiada petunjuk jelas
bahawa Sabah berada di landasan untuk mencapai SSL beras sebanyak
60%, dan kini masih berada sekitar 23%. Apa yang ada hanyalah
pengumuman, jaminan, dan pelan yang berulang saban tahun.
Persoalannya — berapa lama lagi diperlukan? Sepuluh tahun?
Krisis ini bukan
sekadar isu bekalan makanan. Ia adalah soal kedaulatan, keadilan, dan
masa depan Sabah.
Christopher Masudal
Pengarah Komunikasi Strategik
Parti Warisan