TERKINI
Krisis Doktor di Sabah: Kegagalan Struktur Persekutuan, Pengabaian Hak MA63 dan Ketidakjelasan Serius Status Article 95B
Kesihatan 3 min baca 384 tontonan

Krisis Doktor di Sabah: Kegagalan Struktur Persekutuan, Pengabaian Hak MA63 dan Ketidakjelasan Serius Status Article 95B

Ringkasan

Krisis doktor Sabah mencerminkan kegagalan sistem Persekutuan, hak MA63 diabaikan, isu Artikel 95B dan 112C belum diselesaikan, tiada tindakan tegas diambil.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

Krisis kekurangan doktor di Sabah yang semakin parah bukan lagi isu biasa pentadbiran kesihatan. Ia kini menjadi bukti jelas kegagalan struktur Persekutuan dalam menjamin hak asas rakyat Sabah terhadap akses kesihatan yang adil dan setara.

Sabah terus dihimpit keadaan kritikal — kekurangan tenaga perubatan yang serius, hospital yang sesak, serta fasiliti kesihatan yang semakin uzur dan tidak seiring dengan pertambahan populasi. Jurang antara Sabah dan negeri-negeri lain dalam sistem kesihatan negara bukan sahaja masih wujud, malah semakin melebar.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, bidang kesihatan diletakkan sepenuhnya di bawah Senarai Persekutuan. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan memegang tanggungjawab mutlak terhadap hospital, klinik, tenaga doktor dan keseluruhan sistem kesihatan negara. Maka, sebarang kegagalan di Sabah adalah kegagalan langsung Kerajaan Persekutuan, bukan sekadar isu teknikal atau pentadbiran.

Namun, dalam keadaan krisis yang semakin memburuk, timbul satu persoalan besar yang selama ini dibiarkan tanpa jawapan tegas.

Peruntukan khas di bawah Article 95B Perlembagaan Persekutuan, khususnya Jadual Kesembilan List IIIA (Supplement to Concurrent List), pernah memberi Sabah kuasa dalam aspek “medicine and health” sebelum ia tamat pada tahun 1970. Sejak itu, kuasa tersebut tidak pernah dipulihkan, tidak pernah dikaji semula secara terbuka, dan tidak pernah digantikan dengan mekanisme baharu yang setara.

Ini menimbulkan persoalan serius: adakah Sabah secara sedar telah dilucutkan ruang autonomi kesihatan tanpa sebarang penilaian semula terhadap kesan jangka panjangnya?

Lebih membimbangkan, sehingga kini tidak wujud pendirian rasmi yang jelas sama ada Kerajaan Negeri Sabah mahupun Kerajaan Persekutuan untuk menilai semula atau menghidupkan semula peruntukan ini dalam konteks krisis kesihatan yang sedang berlaku.

Dalam masa yang sama, isu ini semakin memburuk apabila hak kewangan Sabah di bawah Article 112C Perlembagaan Persekutuan — yang memperuntukkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah — masih terus menjadi pertikaian, dengan pelaksanaannya tidak jelas, tidak konsisten dan tidak diselesaikan secara tuntas.

Ketidakseimbangan ini kini menjadi punca langsung kepada kelemahan sistem kesihatan Sabah: kekurangan doktor, hospital yang sesak, dan perkhidmatan kesihatan yang jauh ketinggalan berbanding keperluan sebenar rakyat.

Sehubungan itu, Dr Istefan Koh mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan masih mempunyai keberanian politik untuk mempertimbangkan semula struktur undang-undang yang sedia ada, termasuk kemungkinan menggubal undang-undang khas di bawah Article 95D Perlembagaan Persekutuan bagi memberi ruang sebenar kepada Sabah dalam aspek pembiayaan dan pentadbiran kesihatan.

Ketidakjelasan, kelewatan tindakan, dan ketiadaan reformasi struktur hanya membuktikan satu perkara — sistem yang ada hari ini gagal melindungi Sabah secara adil.

Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu kekurangan doktor di negeri ini. Namun, persoalan utama yang kini timbul ialah sejauh mana tindakan susulan yang benar-benar bersifat proaktif akan dilaksanakan, berbanding sekadar pengumuman mengenai keadaan semasa.

Rakyat Sabah tidak lagi boleh menerima alasan.

Mereka berdepan realiti hospital yang terbeban, doktor yang tidak mencukupi, dan sistem kesihatan yang berada di ambang tekanan kritikal.

Dan sehingga hari ini, tiada penyelesaian sebenar yang berani diambil.

Dr Istefan Koh
Ketua Biro Kesihatan
Parti warisan

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk