KENYATAAN MEDIA: 8 Mac 2026 - Saya memandang serius tentang kenyataan Mustapha Sakmud, Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, yang menyatakan beliau “terkejut” dengan tindakan Kerajaan Persekutuan Malaysia memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan hak perlembagaan Sabah terhadap 40% hasil bersih.
Kenyataan tersebut menimbulkan persoalan yang serius. Jika beliau sebenarnya mengetahui lebih awal mengenai tindakan kerajaan memohon penangguhan itu, maka kenyataan kononnya “terkejut” hanya akan dilihat oleh rakyat sebagai sekadar lakonan politik atau bermain wayang.
Namun jika beliau benar-benar tidak mengetahui perkara tersebut, maka keadaan ini lebih membimbangkan. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa Anwar Ibrahim, selaku Perdana Menteri Malaysia, langsung tidak memandang serius jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang beliau sandang sehingga keputusan sepenting ini boleh dibuat tanpa pengetahuan menteri yang sepatutnya menjaga kepentingan Sabah.
Oleh itu, sama ada beliau mengetahui atau tidak mengetahui perkara tersebut, saya yang juga merupakan pengundi kawasan Sepanggar mendesak Mustapha Sakmud supaya segera tampil menjelaskan perkara ini dan menyatakan secara terbuka apakah pendirian beliau dalam mempertahankan hak Sabah berhubung tindakan Kerajaan Persekutuan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah berkaitan tuntutan 40% hasil bersih Sabah ini.
Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan yang jujur dan telus. Isu tuntutan 40% hasil bersih ini adalah hak perlembagaan negeri Sabah dan tidak boleh dipandang ringan atau dijadikan permainan politik.
Rakyat Sabah menunggu jawapan yang jelas ,tindakan dan pendirian yang tegas dalam mempertahankan hak negeri ini.
Cikgu Tham Yun Fook
ADUN N19 Likas