BONGAWAN, 27 April 2026 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof menegaskan keperluan tindakan segera kerajaan dalam menangani pelbagai isu asas yang masih membelenggu rakyat luar bandar, khususnya di kawasan Bongawan dan Kimanis, ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah Penggal Kedua.
Dalam ucapannya, beliau terlebih dahulu merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih terhadap ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah yang menurutnya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan negeri, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan kemajuan yang inklusif antara bandar dan luar bandar. Namun, beliau menegaskan bahawa segala dasar tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan berkesan di peringkat akar umbi.
Dr. Daud menekankan bahawa rakyat di Bongawan dan Kimanis masih berdepan pelbagai cabaran asas termasuk infrastruktur yang tidak sempurna, bekalan air dan elektrik yang tidak stabil, kemudahan internet terhad serta peluang ekonomi yang sempit. Beliau mengingatkan agar inisiatif yang diumumkan tidak sekadar kekal sebagai perancangan di atas kertas, sebaliknya dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan banjir kerap berlaku di beberapa kampung. Keadaan longkang tersumbat dan cetek menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk setiap kali hujan lebat. Beliau menggesa kerajaan menyediakan pelan tindakan segera termasuk kerja mendalam dan melebarkan parit, pembinaan sistem saliran baharu serta penyelenggaraan berkala.
Selain itu, keadaan jalan raya yang rosak dan berbahaya turut menjadi perhatian. Menurut beliau, banyak jalan kampung berlubang dan tidak rata, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan, terutama pada waktu malam. Beliau meminta penjelasan mengenai pelan naik taraf jalan serta perancangan jangka panjang bagi kawasan luar bandar.
Isu bekalan air bersih yang tidak konsisten juga dibangkitkan, dengan sebahagian penduduk terpaksa bergantung kepada sumber alternatif akibat gangguan berpanjangan. Dalam masa sama, gangguan bekalan elektrik yang kerap turut menjejaskan kehidupan harian, perniagaan kecil dan pendidikan anak-anak.
Menyentuh aspek ekonomi, Dr. Daud menegaskan keperluan memperluaskan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia yang kini terpaksa berhijrah ke bandar. Beliau mencadangkan pembangunan industri kecil dan sederhana, latihan kemahiran serta insentif kepada pelabur bagi membuka peluang pekerjaan di luar bandar.
Dalam pada itu, beliau turut menyorot isu penyaluran bantuan kepada golongan B40 yang menurutnya perlu lebih telus dan efektif, selain menuntut penambahbaikan sistem pemilihan penerima serta pemantauan lebih ketat.
Permohonan perumahan di bawah Rumah SMJ yang semakin meningkat turut mendapat perhatian, dengan ramai pemohon masih menunggu kelulusan. Beliau meminta penjelasan mengenai jumlah kelulusan, kriteria pemilihan serta usaha mempercepatkan pelaksanaan projek.
Dalam sektor pertanian, Dr. Daud menyatakan pekebun kecil berdepan cabaran kos input tinggi dan harga hasil tidak menentu. Beliau mencadangkan pemberian subsidi tambahan, penggunaan teknologi moden serta akses pasaran yang lebih luas bagi meningkatkan pendapatan petani.
Isu liputan internet turut diketengahkan apabila masih banyak kawasan mengalami capaian lemah, kelajuan perlahan dan gangguan kerap, sekali gus menjejaskan pelajar, usahawan dan urusan harian rakyat. Beliau mempersoalkan pelan kerajaan termasuk pembinaan menara telekomunikasi baharu.
Selain itu, keadaan sekolah luar bandar yang daif dan kekurangan kemudahan asas turut dibangkitkan. Beliau menggesa kerajaan menaik taraf sekolah, menyediakan akses internet serta meningkatkan sokongan kepada guru dan pelajar.
Mengakhiri ucapannya, Dr. Daud menegaskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan bukanlah perkara baharu, namun masih belum diselesaikan sepenuhnya. Beliau menekankan bahawa rakyat hanya mahukan keperluan asas seperti infrastruktur yang baik, bekalan stabil dan peluang kehidupan yang lebih baik, serta berharap kerajaan mengambil tindakan segera dan serius.