TERKINI
SIDANG DUN SABAH: ADUN Bugaya Gesa Semak Imbang Tegas Dalam RUU Pengurusan Bangunan 2026
Semasa 3 min baca 240 tontonan

SIDANG DUN SABAH: ADUN Bugaya Gesa Semak Imbang Tegas Dalam RUU Pengurusan Bangunan 2026

Ringkasan

ADUN Bugaya mahu RUU Pengurusan Bangunan diperkukuh dengan integriti, audit bebas, ketelusan dan perlindungan pemberi maklumat.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU, April 2026: ADUN Bugaya, YB Jamil Hamzah menyuarakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Pengurusan Bangunan 2026, namun menggesa supaya ia diperkukuh dengan mekanisme semak dan imbang yang lebih jelas bagi memastikan integriti serta ketelusan dalam pengurusan bangunan di Sabah.

Ketika membahaskan RUU itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah Penggal Kedua ke-17 pada 30 April 2025, beliau berkata pertumbuhan pesat pembangunan hartanah berstrata di Sabah memerlukan sistem pengurusan yang lebih mantap.

Menurut beliau, rakyat sering berdepan masalah penyelenggaraan lemah, kutipan yuran yang tidak telus serta pertikaian antara pemilik dan pihak pengurusan.

“Bugaya menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan RUU ini sebagai satu langkah ke arah memperkemaskan tadbir urus pengurusan bangunan di negeri ini,” katanya.

Dalam perbahasan itu, beliau memberi perhatian khusus terhadap Bahagian II berkaitan pelantikan dan kuasa Pesuruhjaya yang disifatkan sebagai badan pengawal selia utama dalam pengurusan bangunan.

Beliau berkata kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya perlu disertakan dengan mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi meningkatkan integriti dalam pengurusan bangunan.

“Semak dan imbang yang jelas penting untuk kita wujudkan di dalam RUU memandangkan isu integri dan rasuah yang berleluasa di sektor awan dan swasta,” katanya.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan penahanan seorang pegawai kanan GLC di Sabah oleh SPRM kerana disyaki menerima rasuah.

“Walaupun jumlah yang dilaporkan sekitar RM16,000, bagi saya isu ini bukan soal angka—tetapi soal amanah dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, isu rasuah bukan sekadar melibatkan individu tetapi mencerminkan kegagalan sistemik jika tidak ditangani secara serius.

“Kalau pegawai kanan pun boleh terlibat, maka rakyat akan bertanya: Apa yang berlaku dalam sistem kita? Di mana mekanisme kawalan dalaman? Adakah budaya integriti benar-benar diamalkan atau sekadar slogan?” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mencadangkan beberapa langkah konkrit dimasukkan ke dalam RUU tersebut termasuk audit bebas dan berkala, ketelusan dalam proses perolehan, pengisytiharan harta pegawai kanan serta perlindungan kepada pemberi maklumat.

“Ramai tahu, tetapi takut bercakap. Sistem mesti melindungi mereka,” katanya.

Beliau berkata aspek integriti amat penting kerana RUU itu turut melibatkan pemaju, perbadanan pengurusan, agensi kerajaan dan GLC.

“Jika integriti tidak dijaga, maka proses kelulusan boleh disalah guna, hak pemilik boleh terjejas dan sistem menjadi tidak adil,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan penguatkuasaan terhadap kes rasuah perlu dilakukan secara tegas tanpa pilih kasih.

“Rakyat mahu lihat: Pendakwaan yang telus, hukuman yang setimpal, tiada campur tangan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa undang-undang yang baik boleh gagal sekiranya pelaksanaannya lemah dan tidak berintegriti.

Menyentuh Fasal 6 RUU tersebut, beliau berpandangan kuasa Menteri untuk memberi arahan dan menghendaki maklumat perlu ditakrifkan dengan lebih spesifik bagi mengelakkan tafsiran terlalu luas yang boleh menjejaskan prinsip tadbir urus baik.

Dalam masa sama, beliau menyokong keperluan memfailkan jadual petak sebelum penjualan hartanah kerana langkah itu mampu melindungi pembeli daripada kekeliruan serta memastikan ketelusan transaksi.

Namun, beliau mencadangkan supaya tempoh masa kelulusan ditetapkan secara jelas selain penalti dikenakan terhadap pemaju yang gagal mematuhi keperluan tersebut.

Bagi Bahagian IV berkaitan penubuhan perbadanan pengurusan, beliau menekankan kepentingan memperkasakan pemilik unit menerusi garis panduan jelas mengenai akauntabiliti kewangan, kewajipan audit tahunan dan mekanisme aduan yang mudah diakses.

Beliau turut mencadangkan elemen pendigitalan dimasukkan dalam RUU itu melalui sistem pengurusan bersepadu, rekod digital mesyuarat dan kewangan serta akses maklumat secara dalam talian kepada pemilik.

“Ini akan meningkatkan ketelusan dan kecekapan,” katanya.

Mengakhiri perbahasan, beliau berkata RUU Pengurusan Bangunan 2026 merupakan langkah ke hadapan yang amat diperlukan, namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang telus, adil dan berkesan.

“Dengan penambahbaikan yang Bugaya cadangkan, Bugaya percaya RUU ini mampu melindungi kepentingan pemilik, memastikan pengurusan bangunan yang profesional, dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah,” katanya.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk