KOTA KINABALU, April 2026 - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, YB Dato' Dr. Haji Mohammad Yusof Bin Haji Apdal menggesa kerajaan negeri mengambil langkah lebih agresif dalam memperkukuh ekonomi Sabah melalui pembangunan industri petroleum bernilai tinggi, reformasi pendidikan, penambahbaikan sektor pelancongan serta percepatan proses persempadanan semula Parlimen di negeri itu.
Ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Kerajaan oleh Tuan Yang di-Pertua Sabah 2026, beliau berkata Sabah tidak boleh terus bergantung kepada ekonomi pengekstrakan semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada ekonomi bernilai tambah yang mampu memberikan manfaat lebih besar kepada rakyat negeri itu.
Menurut beliau, kerajaan perlu segera mengkaji keperluan mewujudkan Strategic Petroleum Reserve di Pantai Timur Sabah bagi menjamin kedaulatan tenaga negeri, khususnya ketika berlaku ketidaktentuan pasaran global atau gangguan bekalan minyak.
Katanya, Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang besar hasil petroleum negara, namun kapasiti simpanan kecemasan di wilayah itu masih terhad kerana kebanyakan terminal sedia ada hanya berfungsi untuk tujuan operasi dan eksport.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah tidak lagi boleh kekal sebagai “pump station” yang hanya mengeksport minyak mentah tanpa menikmati nilai tambah daripada industri hiliran.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan loji penapisan minyak di Pantai Timur Sabah, khususnya di Lahad Datu, memandangkan penemuan minyak baharu kini lebih tertumpu di kawasan Laut Sulu dan sempadan maritim berhampiran Lahad Datu serta Tawau.
Katanya, pembangunan loji penapisan itu bukan sahaja mampu merapatkan jurang ekonomi antara Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah, malah berpotensi menjadikan Lahad Datu sebagai hab petroleum baharu yang mampu menarik pelaburan asing.
Beliau berkata kewujudan industri bernilai tinggi di Pantai Timur juga secara tidak langsung akan meningkatkan kawalan keselamatan maritim di kawasan ESSZONE.
Menurutnya lagi, pembangunan industri petroleum hiliran amat penting bagi mengelakkan penghijrahan tenaga mahir Sabah ke Semenanjung Malaysia dan luar negara akibat kekurangan peluang pekerjaan berkualiti di negeri sendiri.
Dalam pada itu, beliau berkata teknologi moden membolehkan Sabah menerajui teknologi hijau dalam industri petroleum melalui penggunaan teknologi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) dan Deep Tech.
Beliau turut berpandangan bahawa pemprosesan petroleum di Sabah akan meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri dan secara langsung mengukuhkan asas tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Selain sektor petroleum, beliau turut membangkitkan isu pelancongan dengan menyuarakan kebimbangan terhadap kadar penginapan hotel di Sabah yang disifatkan semakin mahal dan lebih memihak kepada pelancong asing.
Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan polisi “Two-Tier Pricing” atau diskaun khas kepada pelancong domestik bagi memastikan rakyat tempatan turut menikmati manfaat sektor pelancongan.
Dalam masa sama, beliau sekali lagi menggesa kerajaan memberi keutamaan terhadap penaiktarafan Lapangan Terbang Lahad Datu bagi menyokong pertumbuhan pelancongan dan aktiviti ekonomi di daerah itu.
Katanya, jumlah pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Lahad Datu meningkat daripada sekitar 121,000 orang pada tahun 2022 kepada lebih 165,000 orang pada tahun 2025.
Beliau berkata penaiktarafan lapangan terbang itu penting kerana Lahad Datu merupakan pintu masuk utama ke destinasi pelancongan terkenal seperti Lembah Danum, Tabin dan lokasi menyelam antarabangsa.
Dalam isu persempadanan semula Parlimen, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap tuntutan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah sudah cukup matang untuk proses persempadanan semula berdasarkan peningkatan kepadatan pengundi dan keluasan kawasan Parlimen yang sangat besar.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan keluasan Parlimen Lahad Datu yang merangkumi daerah Lahad Datu dan Kunak mencecah 8,594 kilometer persegi, lebih besar daripada beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis.
Beliau turut menggesa kerajaan Sabah mempertahankan faktor “Rural Weightage” dalam proses persempadanan semula bagi mengambil kira cabaran logistik serta faktor keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah.
Dalam sektor pendidikan pula, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri segera menaiktaraf University College Sabah Foundation (UCSF) kepada status universiti penuh bagi memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
Katanya, Sabah tidak boleh terus ketinggalan berbanding Sarawak yang kini memiliki beberapa universiti penuh termasuk University of Technology Sarawak, Swinburne University dan Curtin University.
Beliau berkata status universiti penuh akan memberikan lebih banyak autonomi dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan dan penarikan dana antarabangsa.
Beliau turut meminta penjelasan kerajaan mengenai status cadangan subsidi pembayaran pinjaman pendidikan PTPTN dan Yayasan Sabah yang diumumkan Ketua Menteri pada September 2025.
Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan Unit Biasiswa Khusus sebagai pusat sehenti bagi menyelaras maklumat bantuan pendidikan dan biasiswa untuk anak-anak Sabah.
Dalam ucapan sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Centre of Excellence (COE) Biomass di Lahad Datu memandangkan kawasan itu memiliki ekosistem industri sawit lengkap serta pengeluaran sisa biomass yang tinggi.
Menurutnya, Lahad Datu mempunyai kelebihan strategik kerana rantaian bekalan industri sawit di kawasan itu merangkumi ladang, kilang, pusat penyelidikan dan pelabuhan eksport POIC.
Beliau berkata penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan biomass di Lahad Datu akan membantu mewujudkan ekonomi kitaran serta memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.
Mengakhiri perbahasannya, beliau mengingatkan bahawa hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 tidak seharusnya sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar yang dirasai rakyat.
Katanya, kemajuan negeri bukan hanya diukur melalui angka pelaburan besar, tetapi melalui kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti serta penyelesaian kepada masalah kos sara hidup dan kekurangan infrastruktur asas.