TERKINI
SIDANG DUN SABAH: RUU Pengangkatan 2026 Atasi Pertindihan Mahkamah Syariah dan Sivil — ADUN Bugaya
Semasa 2 min baca 287 tontonan

SIDANG DUN SABAH: RUU Pengangkatan 2026 Atasi Pertindihan Mahkamah Syariah dan Sivil — ADUN Bugaya

Ringkasan

ADUN Bugaya sokong pindaan Ordinan Pengangkatan 1960, namun persoal pemansuhan hukuman terhadap kesalahan pengangkatan tidak sah.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU, 30 April — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Pengangkatan (Pindaan) 2026 yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam perbahasannya, beliau berkata pindaan tersebut amat penting bagi menghapuskan perselisihan undang-undang dan pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam isu pengangkatan.

Beliau berkata, “Bugaya amat bersetuju dengan RUU ini untuk meminda seksyen 23 Ordinan. Dengan adanya seksyen ini maka terhapuslah perselisihan Undang-Undang antara Ordinan dan Akta atau pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam isu pengangkatan.”

Menurut beliau, pindaan itu juga mengambil kira cadangan yang pernah dibangkitkannya semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkatan Orang Islam 2024 pada 21 November 2024.

Katanya, kerajaan telah mempertimbangkan cadangan supaya dimasukkan seksyen yang sama seperti peruntukan di bawah Seksyen 31 Akta Pengangkatan 1952 ke dalam Ordinan Pengangkatan 1960.

Dalam ucapannya, beliau turut menjelaskan bahawa pindaan baharu itu menggantikan Seksyen 23 Ordinan dengan peruntukan yang menyatakan Ordinan tersebut tidak terpakai kepada orang Islam, sama ada untuk membenarkan seseorang Islam mengambil anak angkat atau membenarkan pengangkatan kanak-kanak Islam.

Pada masa sama, beliau menjelaskan seksyen lama mengandungi dua peruntukan utama yang bakal dihapuskan menerusi pindaan tersebut.

Katanya, klausa pertama sebelum ini membatalkan semua undang-undang pengangkatan lain termasuk undang-undang adat dan syariah selain Ordinan.

“Dengan menghapuskan klausa ini Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 adalah terpakai dan tidak terbatal oleh Ordinan,” katanya.

Namun begitu, beliau membangkitkan persoalan berkaitan pemansuhan klausa kedua yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun terhadap individu yang melakukan upacara atau prosedur pengangkatan tidak sah secara menipu atau tidak jujur.

Beliau berkata, “Bugaya bertanya kepada YB Datuk Menteri apakah hukuman bagi pesalah melakukan kesalahan dalam Ordinan memandangkan klausa dua dari seksyen yang lama sudah terhapus.”

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya klausa hukuman tersebut dikekalkan sekiranya tiada peruntukan hukuman lain dalam Ordinan.

“Sekiranya ada hukuman kepada pesalah bagi orang yang melanggar Ordinan dalam seksyen yang lain dalam Ordinan, maka Bugaya bersetuju untuk menghapuskan seksyen lama klausa dua. Sebaliknya sekiranya tidak ada seksyen untuk menghukum selain klausa dua dalam seksyen lama, maka Bugaya mencadangkan agar klausa kedua dalam seksyen yang lama tidak dihapuskan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pindaan itu sebagai usaha yang akan memudahkan urusan rakyat serta pihak berkaitan termasuk Mahkamah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Oleh yang demikian Bugaya bersyukur kepada الله swt dengan izinNya mengerakkan Kerajaan untuk memindah Ordinan Pengangkatan 1960 bagi memudahkan urusan Pengangkatan bagi rakyat, Mahkamah dan JPN serta pihak-pihak yang akan terkesan dengan Undang-Undang ini,” katanya.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk