TERKINI
Tham Yun Fook: 180 Hari Tanpa Mekanisme - Kredibiliti Dipersoal, Cadang Bayar 40% Sabah Sekarang Guna Data LHDN Semasa
MA63 2 min baca 181 tontonan

Tham Yun Fook: 180 Hari Tanpa Mekanisme - Kredibiliti Dipersoal, Cadang Bayar 40% Sabah Sekarang Guna Data LHDN Semasa

Ringkasan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak 40% hasil negeri Sabah, tetapi rakyat menanti pelaks...

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

Berkenaan Kenyataan Perdana Menteri mengenai Hak 40% Sabah

Saya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke Sabah pada 15 Mac bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakan hak 40% hasil negeri Sabah dan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan perkara tersebut.

Pengakuan bahawa hak 40% Sabah adalah muktamad merupakan satu perkembangan positif. Namun selepas pengakuan tersebut, perkara yang ditunggu oleh rakyat Sabah bukan lagi kenyataan komitmen, tetapi pelaksanaan yang jelas, telus dan mempunyai garis masa yang pasti.

Hak 40% bukan isu baharu. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh, dan telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Malah mahkamah telah memberikan tempoh 180 hari kepada Kerajaan Persekutuan untuk menentukan mekanisme pelaksanaan. Tempoh tersebut sepatutnya mencukupi untuk menghasilkan satu formula yang jelas dan boleh dilaksanakan.

Namun sehingga hari ini, persoalan asas masih belum dijawab:

• Bilakah pembayaran akan bermula?

• Apakah formula pengiraan yang akan digunakan?

Sekiranya selepas tempoh enam bulan (180hari) masih belum ada mekanisme yang jelas, maka kredibiliti pemimpin dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam mengurus perkara ini wajar dipersoalkan. Rakyat Sabah tidak boleh menerima alasan teknikal sebagai sebab untuk terus menangguhkan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan yang lebih praktikal dan menunjukkan keikhlasan dengan mendahulukan pembayaran 40% kepada Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan hasil yang telah dikutip melalui LHDN pada tahun semasa, kerana jumlah tersebut boleh dikira dengan jelas tanpa menunggu perbahasan panjang mengenai sumber hasil yang lain.

Perkara-perkara yang lebih kompleks seperti hasil minyak dan gas, syarikat berkaitan kerajaan Persekutuan, agensi persekutuan, serta sumber hasil lain boleh terus dibincangkan secara berperingkat, tanpa menangguhkan pembayaran yang sudah boleh dilaksanakan sekarang.

Pendekatan ini akan membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan benar-benar komited untuk menunaikan hak Sabah, dan bukan sekadar memberikan kenyataan setiap kali lawatan rasmi ke negeri ini.

Saya ingin menegaskan bahawa Sabah tidak meminta keistimewaan. Sabah hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak negeri ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Sebagai wakil rakyat, saya akan terus bersuara sehingga hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya.

YB Tham Yun Fook
ADUN N19 Likas
16 Mac 2026

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk