TERKINI
WIRA WARISAN GESA TINDAKAN SEGERA BAIKI JAMBATAN GANTUNG KAMPUNG BOLOTIKON, KIULU
Aduan Rakyat 3 min baca 165 tontonan

WIRA WARISAN GESA TINDAKAN SEGERA BAIKI JAMBATAN GANTUNG KAMPUNG BOLOTIKON, KIULU

Ringkasan

Jambatan tersebut digunakan setiap hari oleh penduduk untuk menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan di hospital, membeli barangan keperluan harian serta membawa keluar hasil pertanian dan kebun mereka. Lebih membimbangkan, menurut penduduk yang tinggal berhampiran jambatan itu, kerosakan telah berlaku sejak Februari lalu, namun sehingga kini masih belum dibaiki.

Warisan Portal
Warisan Portal
KIULU, 20 Jun – Wira Warisan Sabah menggesa agar tindakan segera diambil bagi membaiki jambatan gantung di Kampung Bolotikon, Kiulu yang dilaporkan rosak sejak Februari lalu sehingga menjejaskan kehidupan harian serta keselamatan penduduk kampung.

Naib Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd Khairuddin bin Daud, bersama Ketua Wira Warisan Tuaran, Mohd Azrin Norgi, telah turun padang petang tadi bagi meninjau sendiri keadaan jambatan tersebut selepas aduan penduduk dan rakaman video mengenainya ditularkan oleh seorang penduduk kampung, Jerry Wilfred, di media sosial.

Menurut Mohd Khairuddin, beliau sendiri berjalan merentasi jambatan berkenaan dan mendapati keadaannya amat uzur serta boleh mengundang risiko kepada keselamatan pengguna.

“Selepas melihat sendiri keadaan jambatan ini, saya memahami kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk. Jambatan ini bukan sekadar laluan biasa, tetapi merupakan nadi perhubungan harian masyarakat di Kampung Bolotikon,” katanya.

Beliau berkata jambatan tersebut digunakan setiap hari oleh penduduk untuk menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan di hospital, membeli barangan keperluan harian serta membawa keluar hasil pertanian dan kebun mereka.

Lebih membimbangkan, menurut penduduk yang tinggal berhampiran jambatan itu, kerosakan telah berlaku sejak Februari lalu, namun sehingga kini masih belum dibaiki.

Katanya lagi, keadaan itu turut memberi kesan kepada golongan pesakit apabila terdapat individu yang telah lama gagal menghadiri temu janji rawatan susulan di hospital kerana kerusi roda tidak dapat melalui jambatan yang rosak.

“Ini bukan lagi soal keselesaan, tetapi soal keselamatan rakyat serta akses mereka kepada pendidikan, kesihatan dan keperluan harian. Apabila jambatan ini rosak, seluruh rutin kehidupan penduduk turut terjejas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azrin Norgi berkata keadaan jambatan berkenaan tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia merupakan satu-satunya laluan utama bagi sebahagian penduduk kampung.

“Apa yang menyedihkan ialah apabila ada pesakit yang terpaksa menangguhkan rawatan di hospital kerana kerusi roda tidak dapat melalui jambatan yang rosak ini. Ini menunjukkan kerosakan jambatan bukan sahaja menjejaskan pergerakan penduduk, malah memberi kesan kepada kebajikan dan kesihatan mereka,” katanya.

Beliau berharap tindakan pembaikan dapat disegerakan demi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya turut menghubungi Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, bagi memanjangkan aduan yang diterima daripada penduduk kampung.

Menurut beliau, Madius memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Parlimen Tuaran telah mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan pada sebelah pagi hari ini bagi menilai keadaan jambatan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap hasil lawatan tersebut akan disusuli dengan tindakan segera oleh agensi berkaitan memandangkan jambatan itu merupakan kemudahan asas yang amat penting kepada penduduk Kampung Bolotikon.

“Kami menghargai tindakan pantas Pusat Khidmat Parlimen Tuaran yang telah turun meninjau keadaan jambatan ini. Harapan kami kini ialah agar tindakan pembaikan dapat disegerakan kerana keselamatan dan kebajikan penduduk tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya.



Beliau menegaskan bahawa lawatan tersebut bukan bertujuan mempolitikkan isu, sebaliknya bagi memastikan suara penduduk didengari dan tindakan sewajarnya dapat diambil.



“Apabila rakyat menyuarakan masalah, mereka sebenarnya meletakkan harapan agar ada pihak yang mendengar dan bertindak. Apa yang diharapkan oleh penduduk Kampung Bolotikon hanyalah sebuah jambatan yang selamat untuk digunakan setiap hari,” katanya.




Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Warisan Portal
Penulis

Warisan Portal

Penulis di WarisanPortal.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk