TERKINI
ADUN Warisan Sabah Serah Memorandum kepada SPRM Tentang Skandal Perlombongan Sabah
Integriti 3 min baca 128 tontonan

ADUN Warisan Sabah Serah Memorandum kepada SPRM Tentang Skandal Perlombongan Sabah

Ringkasan

ADUN Warisan Sabah serahkan memorandum kepada SPRM, tuntut penjelasan mengenai kelewatan siasatan skandal perlombongan yang melibatkan tokoh politik.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KENYATAAN MEDIA: 27 MAC 2026, BAGI PIHAK 8 ADUN WARISAN SABAH BERHUBUNG PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) MENGENAI SKANDAL PERLOMBONGAN SABAH

Hari ini, kami Ahli- Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah daripada Parti Warisan telah menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu.

Penyerahan memorandum ini juga dilaksakan serentak oleh ADUN-ADUN sekitar Sandakan yang diketuai oleh YB Calvin Chong dan ADUN-ADUN sekitar Tawau yang diketuai oleh YB Justin Wong.

Memorandum ini membawa satu tuntutan yang jelas — SPRM mesti memberi penjelasan penuh mengenai kelewatan siasatan terhadap individu-individu lain yang terlibat dalam Skandal Perlombongan Sabah.

Sehingga hari ini, apa yang membimbangkan kami adalah kesunyian yang berpanjangan daripada pihak SPRM mengenai perkembangan siasatan. Kali terakhir kenyataan rasmi dibuat adalah oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada November 2025.

Sedangkan sebelum itu, laporan meluas menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 15 individu telah dikaitkan, termasuk tokoh-tokoh politik berprofil tinggi. Namun sehingga kini, hanya beberapa individu sahaja yang didakwa.

Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius:

Mengapa hanya sebahagian didakwa, sedangkan bukti yang dikemukakan didakwa seragam dan konsisten?

Sejak November 2024, rakyat Malaysia—khususnya rakyat Sabah—telah menyaksikan pendedahan video demi videoyang menunjukkan dakwaan salah guna kuasa melibatkan ahli politik, termasuk dakwaan penerimaan rasuah sebagai balasan kepada kelulusan lesen perlombongan.

Skandal ini bukan kecil.

Ini adalah antara skandal rasuah terbesar yang pernah menggoncang negeri

Sabah.

Lebih membimbangkan, satu ‘dossier’ melebihi 300 muka surat—mengandungi video, aliran wang, rekod bank dan dokumen sokongan—telah pun diserahkan kepada SPRM. Namun sehingga hari ini, tindakan hanya diambil terhadap sebahagian kecil daripada mereka yang didakwa terlibat.

Tambahan pula, apabila timbul isu ketulenan video, satu kumpulan peguam, Lawyers for Liberty, telah mengemukakan video baharu yang tidak disunting bagi menyangkal dakwaan tersebut.

Maka persoalannya kekal:

Apakah status sebenar siasatan?
Adakah semua pihak disiasat secara adil dan menyeluruh?

Kelewatan ini telah membawa kepada satu keadaan yang amat membimbangkan — individu yang dikaitkan dengan skandal ini masih boleh dilantik ke jawatan awam.

Ini tidak boleh diterima.

Ini adalah satu penghinaan kepada prinsip integriti dan kepercayaan rakyat.

Kami ingin menegaskan bahawa tuntutan kami adalah mudah dan munasabah:

SPRM mesti mendedahkan hasil siasatan secara telus;

Tiada sesiapa boleh dilindungi atas alasan kedudukan atau pengaruh;

Semua individu yang mempunyai bukti mencukupi mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa pilih kasih.

Rakyat Sabah berhak mendapat jawapan. Rakyat Sabah berhak mendapat keadilan.

Sekiranya keadaan ini berterusan, persepsi terhadap pendakwaan terpilih akan terus menebal dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.

Kami ingin mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk memulihkan keyakinan ini terletak di bahu SPRM.

Kami akan terus memantau perkara ini dengan serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah susulan sekiranya tiada perkembangan yang memuaskan.

Rakyat Sabah sedang memerhati.
Kebenaran mesti ditegakkan.
Keadilan mesti dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.

-TAMAT

Disediakan oleh:

Chin Tek Ming
(YB N.25 Kapayan)
27 Mac 2026

Lampiran:
RUJUK MEMORANDUM DI SINI

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk