KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, YB Assaffal P. Alian menzahirkan sokongan penuh terhadap keresahan yang disuarakan oleh Kesatuan Pegawai-Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) mengenai pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
Menurut beliau, pengenalan Akta 860 bukan sekadar penyelarasan keselamatan sempadan tetapi boleh dilihat sebagai langkah halus untuk mengambil alih kuasa autonomi imigresen yang merupakan hak mutlak Kerajaan Sabah.
Assaffal berkata hak imigresen Sabah adalah syarat fundamental dalam pembentukan Malaysia yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta diperincikan melalui Akta Imigresen 1963 (Akta 27/1963).
Katanya, dalam draf asal Rang Undang-Undang 1963, Sabah dan Sarawak diberikan status sebagai unit berasingan dengan kuasa kawalan kemasukan berada di bawah bidang kuasa penuh negeri masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa tindakan memusatkan kuasa melalui Akta 860 dilihat bertentangan dengan semangat “wilayah berdaulat” yang dijanjikan kepada Sabah ketika pembentukan Malaysia.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan bahawa proses pemusatan kuasa tersebut bukan perkara baharu kerana Akta Imigresen 1959/1963 sebelum ini pernah dipinda di bawah Seksyen 3(1A) bagi membolehkan Menteri Dalam Negeri melantik Pengarah Imigresen serta pegawai kanan berkaitan.
Menurut beliau, apa yang berlaku melalui Akta 860 ketika ini hanyalah “siaran ulangan” kepada proses pemusatan kuasa tersebut tetapi dalam skala yang jauh lebih besar melalui penubuhan sebuah agensi Persekutuan sepenuhnya.
Assaffal berkata trend sedemikian tidak sepatutnya diteruskan kerana Jabatan Imigresen Sabah sewajarnya diperkasakan sebagai institusi negeri yang lebih mandiri tanpa campur tangan berterusan daripada pihak eksekutif Persekutuan.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai penghakisan kuasa mutlak Ketua Menteri Sabah dalam hal berkaitan imigresen.
Menurutnya, berdasarkan Seksyen 65 Akta 155, Pengarah Imigresen Sabah wajib mematuhi arahan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri iaitu Ketua Menteri Sabah.
Namun katanya, di bawah Akta 860, agensi Persekutuan baharu tersebut akan diketuai oleh seorang Ketua Pengarah lantikan Persekutuan yang tertakluk kepada arahan Menteri Dalam Negeri.
Walaupun terdapat peruntukan pematuhan terhadap arahan negeri di bawah Seksyen 6(3), beliau bimbang kewujudan lapisan agensi pusat itu akan secara teknikal mengatasi kuasa eksekutif Ketua Menteri di lapangan.
Dalam masa sama, Assaffal turut merujuk kepada “lima kelompongan besar” yang dibangkitkan oleh KPPIS sebagai bukti bahawa perundangan baharu tersebut tidak mengambil kira sensitiviti perlembagaan Sabah.
Katanya, antara kebimbangan utama ialah penyelesaian pertindihan fungsi secara pentadbiran di bawah Seksyen 8 Akta 860 yang dilihat membuka ruang kepada Putrajaya membuat keputusan tanpa merujuk kepada hak perlembagaan asal Sabah.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan persoalan terbuka kepada Kerajaan Negeri Sabah mengenai sejauh mana implikasi Akta 860 telah diteliti secara mendalam oleh kepimpinan negeri.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyedari bahawa dengan membiarkan agensi Persekutuan mengambil alih fungsi yang sepatutnya diperkasakan di bawah Jabatan Imigresen Sabah, kerajaan negeri secara tidak langsung sedang menyerahkan kuasa autonomi Sabah kepada eksekutif Persekutuan.
Tegas beliau, isu tersebut bukan sekadar soal pentadbiran tetapi melibatkan syarat fundamental yang termaktub dalam Akta 27/1963 dan hak Sabah sebagai rakan pengasas Malaysia.