KOTA KINABALU: ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming memandang serius kebimbangan yang disuarakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) berhubung pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860 / AKPS).
Menurut beliau, kebimbangan yang dibangkitkan sendiri oleh pegawai imigresen Sabah tidak boleh dipandang ringan memandangkan mereka berada di barisan hadapan penguatkuasaan sempadan dan lebih memahami realiti operasi di lapangan.
Katanya, apabila timbul kebimbangan bahawa Akta 860 boleh menghakis kuasa autonomi Sabah, mewujudkan pertindihan bidang kuasa serta mengaburkan sempadan kuasa antara negeri dan Persekutuan, maka Kerajaan Negeri wajib tampil memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa Akta 860 menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sebuah mekanisme Persekutuan yang menyelaraskan pelbagai fungsi kawalan sempadan negara termasuk imigresen, kastam, kuarantin, keselamatan dan penguatkuasaan sempadan.
Menurut Chin, walaupun penyelarasan penguatkuasaan sempadan secara prinsipnya mungkin kelihatan baik, persoalan utama bagi Sabah ialah sama ada langkah tersebut akhirnya akan membawa kepada pemusatan kuasa Persekutuan terhadap bidang yang selama ini mempunyai perlindungan khas di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Sabah mempunyai kedudukan khas dalam soal imigresen dan kawalan kemasukan dan kuasa tersebut bukan ihsan politik tetapi perlindungan perlembagaan yang diwujudkan semasa pembentukan Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa kebimbangan tersebut bukan tanpa asas memandangkan Sabah telah lama berdepan masalah pendatang tanpa izin (PTI), penyeludupan rentas sempadan, pemalsuan dokumen serta tekanan keselamatan di kawasan sempadan seperti Pulau Sebatik.
Tambah beliau, Sabah juga mempunyai sejarah kehilangan kuasa secara berperingkat kepada Kerajaan Persekutuan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Menurutnya, beberapa ordinan Sabah yang asalnya berada di bawah bidang kuasa negeri telah diambil alih dan dijadikan bidang kuasa Persekutuan termasuk Ordinan Eksais 1959 dan Ordinan Petroleum 1960.
Katanya, walaupun masih terdapat ordinan Sabah yang kekal sebagai undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah Sabah, rakyat kini mula melihat pola yang membimbangkan apabila sedikit demi sedikit kuasa negeri dipusatkan dan bidang kuasa Sabah semakin mengecil.
Chin berkata sekiranya perkara tersebut tidak ditangani dengan segera dan tegas, Sabah berisiko kehilangan lebih banyak kawalan terhadap hal ehwal strategiknya sendiri.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu tersebut bukan sekadar isu teknikal pentadbiran tetapi melibatkan masa depan Sabah termasuk soal pemilikan tanah, demografi negeri, keselamatan, peluang pekerjaan dan identiti rakyat Sabah sendiri.
Menurut beliau, apabila kawalan sempadan menjadi lemah dan sempadan kuasa antara negeri dan Persekutuan semakin kabur, Sabah akhirnya boleh kehilangan kawalan terhadap tanah dan struktur sosialnya sendiri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh terus berdiam diri dan perlu segera menjelaskan implikasi sebenar Akta 860 terhadap kuasa imigresen Sabah.
Beliau turut menggesa supaya pendirian rasmi Sabah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri selain mendapatkan penjelasan undang-undang yang jelas mengenai sempadan kuasa negeri dan Persekutuan.
Katanya, kerajaan juga mesti memastikan tiada pelaksanaan yang menghakis kuasa khas Sabah di bawah MA63.
Tegas beliau, Sabah bukan sekadar unit pentadbiran biasa tetapi merupakan rakan pengasas Malaysia dan hak Sabah tidak boleh dikurangkan secara perlahan melalui mekanisme pentadbiran baharu tanpa persetujuan serta penelitian serius Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata akan terus membawa isu tersebut termasuk ke Dewan Undangan Negeri sekiranya perlu kerana rakyat Sabah berhak mengetahui apa yang sedang berlaku terhadap kuasa negeri mereka sendiri.