KENYATAAN MEDIA: 2 MAC 2026 - Banjir besar
yang melanda Sabah pada bulan Februari lalu telah menyebabkan
beberapa daerah diisytiharkan sebagai kawasan bencana dengan ribuan
penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Keadaan ini
bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat malah
mengakibatkan kemusnahan harta benda serta gangguan serius terhadap
aktiviti ekonomi negeri.
Pada bulan
Januari yang lalu, saya telah pun mengesyorkan kepada Ketua Menteri
dan Kerajaan Negeri agar banjir diisytiharkan sebagai Ancaman Nombor
Satu kepada Sabah setelah mengambil kira kemusnahan berulang yang
dialami rakyat serta kerugian ekonomi yang mencecah ratusan juta
ringgit setiap tahun disebabkan oleh perubahan cuaca yang semakin
teruk.
Saya tidak tahu
samada syor tersebut diberikan perhatian sewajarnya ataupun tidak
tetapi ianya boleh dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri
Sabah pada mesyuarat akan datang.
Kepimpinan
negeri tidak boleh terus-menerus menyalahkan faktor jumlah hujan yang
tinggi atau fenomena air pasang sebagai punca utama kejadian banjir
besar yang semakin kerap berlaku. Alasan yang sama telah digunakan
sejak sedekad lalu. Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan hari ini
untuk merangka dan melaksanakan pelan mitigasi banjir yang
benar-benar berkesan, komprehensif dan berimpak jangka panjang.
Pelan mitigasi
negeri ini tidak boleh disediakan secara silo oleh segelintir pegawai
di kementerian atau jabatan tertentu sahaja. Ia mesti dirangka secara
inklusif melalui proses libat urus yang berterusan melibatkan
persatuan geologi, persatuan jurutera, universiti awam, NGO,
parti-parti politik serta penduduk kampung yang terkesan secara
langsung. Suara komuniti setempat yang saban tahun berhadapan dengan
banjir perlu diberi perhatian serius dalam proses perancangan dasar.
Terdapat juga
dakwaan daripada penduduk kampung bahawa banjir besar di kawasan
mereka berpunca daripada aktiviti pembersihan bukit bagi tujuan
pembalakan dan pembangunan. Jika siasatan menyeluruh tidak dilakukan,
risiko banjir berulang di kawasan sama akan terus menghantui rakyat.
Memandangkan
Ketua Menteri dan anggota Kabinet Negeri baru sahaja melafazkan Ikrar
Bebas Rasuah (IBR), maka ikrar ini sewajarnya diterjemahkan dalam
bentuk tindakan yang konkrit dengan meminta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sekiranya terdapat
dakwaan salah guna kuasa membabitkan pegawai kerajaan negeri, ahli
politik atau syarikat tertentu dalam aktiviti pembersihan bukit dan
pembangunan yang mungkin menjadi penyumbang kepada kejadian banjir.
Dakwaan oleh
penduduk kampung seperti inilah sebab mengapa Parti Warisan bertegas
untuk menubuhkan Jawatankuasa Ombudmen Negeri. Jawatankuasa ini
mempunyai kuasa untuk mendengar dan menyiasat aduan serta dakwaan
terhadap sebarang keputusan atau tindakan pegawai-pegawai kerajaan
negeri yang berkemungkinan telah menjejaskan kepentingan dan
kehidupan rakyat Sabah.
Mekanisme semak
dan imbang yang bebas amat penting bagi memastikan ketelusan dan
akauntabiliti pentadbiran negeri.
Saya juga ingin
bertanya mengapa Perdana Menteri dan kepimpinan tertinggi Kerajaan
Perpaduan dari Semenanjung tidak turun melawat kawasan-kawasan
terjejas bagi meninjau sendiri penderitaan rakyat Sabah dan memberi
jaminan bantuan kewangan, sama ada untuk pemulihan infrastruktur dan
utiliti negeri mahupun untuk membantu rakyat yang kehilangan atau
mengalami kerosakan harta benda.
Adakah ketiadaan
lawatan rasmi dalam masa 14 hari bencana banjir di negeri terjadi
oleh barisan tertinggi Kerajaan Perpaduan ini berkait dengan hakikat
bahawa Pilihan Raya Negeri telah berlalu maka Sabah tidak lagi
menjadi keutamaan?
Tidak mungkin
mereka tidak mengetahuinya kerana banjir yang melanda negeri ini
telah mendapat liputan meluas selama hampir dua minggu di media
nasional.
Namun demikian,
ketidak-hadiran kepimpinan tertinggi negara ketika rakyat Sabah
sedang bergelut dengan penderitaan akibat bencana alam membuktikan
satu perkara yang penting yakni bahawa negeri ini berhak mendapat
layanan yang adil dan perhatian segera daripada Kerajaan Persekutuan.
Sabah mampu
menempuh sebarang musibah besar atas kaki sendiri sepertimana Shafie
Apdal bertindak pantas demi kepentingan rakyat Sabah ketika pandemik
Covid 19 melanda negeri ini dahulu tanpa menunggu bantuan ataupun
arahan dari Muhyiddin Yasin yang merupakan Perdana Menteri ketika
itu.
Dan Sabah mesti
beralih dari pengurusan krisis kepada pencegahan strategik demi untuk
memastikan aktiviti pembangunan dan ekonomi negeri ini tidak
terganggu.
Parti Warisan
akan terus memperjuangkan dasar yang berteraskan kepentingan rakyat
Sabah, memastikan keselamatan mereka diutamakan serta menuntut
pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan berani melakukan
pembaharuan demi masa depan negeri ini.
Christopher
Masudal
Pengarah
Komunikasi Strategik
Parti Warisan