KUDAT, 9 Mei 2026: Parti WARISAN Bahagian P167 Kudat terus menunjukkan keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat apabila sekali lagi tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas dalam insiden tersebut.
Kebakaran yang berlaku pada 16 April lalu telah menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal dan sehingga kini mangsa masih ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Kampung Gumpa.
Program penyerahan sumbangan bakul makanan itu diketuai oleh Datuk Harun Ismail, mantan calon WARISAN N3 Pitas bersama pimpinan dan anggota parti bagi meringankan beban penduduk yang terlibat.
Turut hadir ialah Zinin Adong Ajak selaku Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Khairuddin Daud, Ketua Wira Kudat merangkap Naib Ketua Wira, Kalidah selaku Exco Wirawati Pusat serta Datuk Siti Aminah.
Sebanyak 18 keluarga mangsa kebakaran menerima sumbangan bakul makanan dan sebuah mesin basuh untuk kegunaan bersama, dalam program tersebut sebagai tanda solidariti dan sokongan berterusan daripada WARISAN kepada masyarakat setempat.
Menurut penganjur, bantuan kali ini merupakan kali kedua disalurkan selepas sayap Wira WARISAN sebelum ini turut turun padang membantu penduduk yang terkesan sejurus selepas kejadian kebakaran berlaku.
WARISAN P167 Kudat menegaskan bahawa usaha membantu rakyat yang memerlukan akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira masa, khususnya ketika masyarakat berdepan kesukaran dan kehilangan tempat tinggal akibat bencana.