WARISAN LANCAR MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN RUMAH DI KG BAHAGIA, SANDAKAN
SANDAKAN, 24 April 2026 — Parti Warisan Sabah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ke Kampung Bahagia, Sandakan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kebakaran rumah yang berlaku di kawasan tersebut.
Misi itu menghimpunkan kerjasama pimpinan Parti Warisan, sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bantuan keperluan asas dapat disampaikan segera kepada mangsa.
Rombongan dari Kota Kinabalu diketuai Ketua Penerangan Warisan Pusat, Datuk Azis Jamman, bersama Khairuddin Daud selaku Naib Ketua Wira Pusat, Anwar Wak (Setiausaha Kerja Wira Pusat), Affendi (Ketua Wira Sepanggar), Pasukan Warisan Sepanggar, Pasukan Penerangan Pusat serta NGO Persatuan Kebajikan dan Usahawan Tavan Sabah.
Turut bersama di Sandakan ialah Alias Sani, ADUN Sekong, selain Pasukan Warisan Bahagian Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan serta Bakram Hatib, Ketua Penerangan Libaran.
Konvoi bantuan tiba di Sandakan pada 24 April dengan membawa pelbagai keperluan asas menggunakan lima kenderaan pacuan empat roda serta sebuah lori bagi mempercepat proses penghantaran bantuan kepada mangsa.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk kit kebersihan, pampers kanak-kanak, tilam serta pakaian baharu dan terpakai.
Semua barangan bantuan dikumpulkan di Pejabat ADUN Karamunting, Alex Wong, yang dijadikan pusat penyelarasan sebelum diagihkan kepada mangsa kebakaran.
Dalam taklimat lapangan kepada rombongan dari Kota Kinabalu, Alias Sani memaklumkan bahawa mangsa yang terjejas kini ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan masih memerlukan bantuan berterusan terutama melibatkan keperluan asas serta sokongan logistik.
Misi tersebut mencerminkan komitmen berterusan Warisan bersama sukarelawan dan NGO dalam membantu rakyat yang berdepan musibah serta memastikan kebajikan mangsa kebakaran terus diberi perhatian.
Disediakan oleh:
Khairuddin Daud
Naib Ketua Wira Pusat
Parti Warisan Sabah