KENYATAAN MEDIA: 13 MAC 2026 - PENAFIAN / DISCLAIMER
Merujuk kepada
artikel bertajuk “Warisan wants large scale deportations: Cites
over 1 million illegals in Sabah” yang telah diterbitkan oleh Daily
Express pada 13 Mac 2026.
Saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada pihak media, khususnya Daily Express,
kerana menyiarkan kenyataan media saya bertarikh 10 Mac 2026 yang
menekankan keperluan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk
melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran bagi
menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.
Walau
bagaimanapun, saya ingin membuat penafian terhadap tajuk artikel
tersebut yang menyatakan bahawa terdapat lebih 1 juta pendatang asing
tanpa izin di Sabah, kerana saya tidak pernah membuat kenyataan
sedemikian.
Dalam kenyataan
media saya yang terdahulu, saya telah merujuk kepada statistik rasmi
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menyatakan bahawa setakat
Januari tahun ini terdapat 1,040,000 warga asing berada di negeri
Sabah. Berdasarkan angka tersebut, saya telah membangkitkan persoalan
mengenai jumlah sebenar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berada
di negeri ini.
Penafian ini
dibuat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, terutamanya dalam era
media sosial masa kini di mana tangkapan skrin tajuk berita sering
disebarkan tanpa merujuk kepada kandungan penuh sesuatu laporan.
Sehubungan itu,
Parti Warisan dan saya sendiri tidak bertanggungjawab terhadap
sebarang salah tafsir, kekeliruan atau implikasi undang-undang yang
mungkin timbul berikutan penggunaan tajuk tersebut oleh pihak media,
sama ada melalui portal dalam talian mahupun penerbitan cetakan.
Sekian, terima
kasih.
Christopher
Masudal
Pengarah
Komunikasi Strategik
Parti Warisan