TERKINI
GAJI TIDAK SETIMPAL, KOS SARA HIDUP PUNCA GRADUAN SABAH BERHIJRAH - WIRA WARISAN
Belia 2 min baca 91 tontonan

GAJI TIDAK SETIMPAL, KOS SARA HIDUP PUNCA GRADUAN SABAH BERHIJRAH - WIRA WARISAN

Ringkasan

Wira Warisan Sabah menggesa kerajaan negeri menangani gaji rendah dan jurang pendapatan yang mendorong graduan serta tenaga mahir berhijrah.

Admin
Admin
TUARAN, 15 Jun – Wira Warisan Sabah menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu kadar gaji yang masih rendah berbanding peningkatan kos sara hidup kerana keadaan itu menjadi antara faktor utama ramai graduan dan tenaga mahir memilih meninggalkan Sabah untuk membina kerjaya di tempat lain.

Ketua Wira Warisan Tuaran yang juga Exco Wira Warisan Sabah, Mohd Azrin Norgi, berkata jurang pendapatan yang masih ketara berbanding beberapa negeri lain menyebabkan semakin ramai anak muda melihat penghijrahan sebagai pilihan terbaik demi menjamin masa depan mereka.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median gaji bulanan pekerja sektor formal di Sabah pada suku keempat tahun 2025 direkodkan sekitar RM2,045, jauh lebih rendah berbanding Kuala Lumpur yang mencatat RM4,391.

Menurutnya, jurang pendapatan itu menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi memastikan pekerjaan yang diwujudkan mampu menawarkan gaji yang setimpal dengan kelayakan serta kos sara hidup semasa.

“Anak muda Sabah tidak berhijrah kerana tidak cintakan negeri ini. Mereka berhijrah kerana gaji yang ditawarkan tidak mampu menjamin masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azrin berkata keadaan itu menyebabkan Sabah terus kehilangan modal insan berkualiti apabila ramai graduan, tenaga profesional dan pekerja mahir memilih untuk membina kerjaya di Semenanjung Malaysia atau di luar negara.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu melihat isu tersebut sebagai cabaran strategik yang memberi kesan langsung kepada pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan.

Katanya, kejayaan sesuatu dasar ekonomi tidak boleh hanya diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang diumumkan, sebaliknya perlu dinilai melalui jumlah peluang pekerjaan berkualiti yang berjaya diwujudkan kepada rakyat tempatan.

“Kerajaan tidak boleh berbangga dengan angka pelaburan jika anak muda Sabah masih membeli tiket sehala ke Semenanjung untuk mencari rezeki,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkukuhkan sektor ekonomi bernilai tinggi seperti teknologi, ekonomi digital, industri kreatif dan tenaga boleh diperbaharui, selain memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) agar selari dengan keperluan industri.

Pada masa sama, beliau berkata dasar yang memberi keutamaan kepada pengambilan anak Sabah dalam sektor-sektor strategik juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan lebih ramai graduan tempatan mendapat peluang membina kerjaya di negeri sendiri.

“Selagi gaji di Sabah tidak mampu menandingi kos sara hidup, selagi itulah negeri ini akan terus kehilangan graduan terbaiknya,” katanya.

Beliau menegaskan Wira Warisan Sabah akan terus konsisten membawa suara anak muda dengan mengangkat isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat serta mengemukakan cadangan penyelesaian yang praktikal demi masa depan Sabah.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk