TERKINI
Hak 40% Sabah: Kenyataan Hajiji dan Naratif “Rundingan” Tidak Meyakinkan
MA63 3 min baca 823 tontonan

Hak 40% Sabah: Kenyataan Hajiji dan Naratif “Rundingan” Tidak Meyakinkan

Ringkasan

ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang masih menggambarkan isu tuntutan 40% Sabah sebagai “masih dalam rundingan” walaupun kes tersebut telah melalui proses Mahkamah Tinggi dan kini berada di Mahkamah Rayuan.

Beliau turut menyifatkan penolakan usul persendirian yang dibawanya di DUN Sabah sebagai petanda bahawa kerajaan negeri tidak bersedia mengambil pendirian rasmi yang telus dan berterusan dalam mempertahankan hak Sabah selepas tahun 2021.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU: ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming memandang serius kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang masih menggambarkan isu tuntutan 40% hasil bersih Sabah sebagai “masih dalam rundingan”.

Menurut beliau, realiti undang-undang dan perkembangan semasa menunjukkan isu tersebut telah pun memasuki proses kehakiman selepas diputuskan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan kini berada di Mahkamah Rayuan.

Katanya, isu tersebut tidak akan berada dalam sistem mahkamah sekiranya rundingan benar-benar mencapai penyelesaian yang adil dan mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata prosiding Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuktikan terdapat kegagalan ketara dalam pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, Chin turut menyuarakan kebimbangan apabila Ketua Menteri masih menyatakan bahawa pembayaran hak 40% Sabah bergantung kepada “kemampuan” Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, hak 40% Sabah bukan bantuan ihsan, bukan dana politik dan bukan pemberian sukarela tetapi hak Perlembagaan yang wajib dilaksanakan tanpa alasan fiskal atau pertimbangan politik.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan ADUN Dilantik kerajaan, Roger Chin dalam satu forum bahawa kes tersebut berkemungkinan besar akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, kenyataan tersebut secara tidak langsung mengesahkan bahawa isu 40% Sabah kini bukan lagi sekadar “rundingan” tetapi telah menjadi pertikaian Perlembagaan yang sedang ditentukan melalui proses kehakiman tertinggi negara.

Menurut Chin, perkara tersebut menimbulkan persoalan asas iaitu sekiranya rundingan benar-benar masih berjalan secara berkesan, mengapa kes tersebut kini berada di laluan litigasi sehingga berpotensi dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan Sabah kehilangan hak pembayaran 40% bagi tempoh 48 tahun terdahulu serta tahun-tahun bermula 2022 sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepada Sabah.

Dalam kenyataan sama, Chin turut melahirkan kekesalan terhadap penolakan usul persendirian yang dibawanya di Dewan Undangan Negeri Sabah oleh kerajaan GRS.

Menurut beliau, usul tersebut bukan bertujuan mengganggu atau menggantikan kes mahkamah sedia ada dan bukan duplikasi kepada prosiding kehakiman yang sedang berjalan.

Sebaliknya katanya, usul tersebut khusus bagi menangani isu hak Sabah selepas tahun 2021 termasuk bagi tahun 2022, 2023, 2024, 2025 dan tahun-tahun seterusnya.

Beliau berkata hak Sabah di bawah Perkara 112C tidak terhenti pada satu tempoh tertentu tetapi terus berjalan setiap tahun selagi mekanisme semakan dan pelaksanaan Perlembagaan belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Menurut beliau, usul tersebut bertujuan menentukan pengiraan rasmi hak 40% Sabah bagi tahun 2022 dan seterusnya, mendapatkan pendedahan penuh hasil sebenar Persekutuan daripada Sabah, menuntut kekurangan bayaran berdasarkan formula Perlembagaan serta menyediakan asas pendirian rasmi Sabah bagi tuntutan masa depan.

Katanya, usul tersebut penting bagi memastikan Sabah tidak kehilangan asas undang-undang dan kedudukan perlembagaan untuk tuntutan masa hadapan.

Namun menurut Chin, penolakan usul tersebut memberi isyarat membimbangkan bahawa kerajaan GRS tidak bersedia mengikat diri kepada pendirian rasmi yang telus dan berterusan dalam mempertahankan hak Sabah selepas tahun 2021.

Beliau berkata naratif “masih berunding” kini semakin sukar dipertahankan apabila mahkamah telah terlibat, keputusan Mahkamah Tinggi telah dibuat dan pemimpin kerajaan sendiri mengakui kemungkinan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Tegas beliau, rakyat Sabah berhak mendapat kejelasan dan mengetahui jumlah sebenar hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah serta bagaimana hak 40% tersebut dikira dan dilaksanakan secara berterusan.

Beliau menegaskan bahawa semua hasil bumi Sabah adalah milik rakyat Sabah dan hak Sabah tidak boleh terus dilengah-lengahkan atau disembunyikan di sebalik istilah “rundingan” tanpa penghujung.

Katanya, hak Sabah merupakan hak Perlembagaan yang wajib dikira, dituntut, dipertahankan dan dilaksanakan sepenuhnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk