KOTA KINABALU: Chen Ket Chuin @ KC mengambil maklum kenyataan berulang pimpinan GRS termasuk Datuk Seri Hajiji Noor, Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Armizan Mohd Ali dan Datuk Joniston Bangkuai yang terus menggunakan naratif “komitmen”, “sokongan” dan “rundingan berterusan” dalam isu tuntutan hak 40% hasil bersih Sabah.
Menurut beliau, walaupun pelbagai kenyataan telah dikeluarkan, satu perkara masih tidak berubah iaitu ketiadaan pelan pelaksanaan yang konkrit, garis masa yang jelas dan mekanisme yang boleh diaudit oleh rakyat Sabah.
Katanya, Datuk Seri Masidi Manjun sendiri sebelum ini pernah menyatakan bahawa anggaran hak 40% Sabah bagi tahun 2025 melebihi RM3 bilion.
Beliau berkata pengakuan tersebut merupakan perkara penting namun persoalan utama ialah apakah langkah kerajaan negeri untuk mendapatkan semula jumlah tersebut.
Menurut beliau, sekiranya jumlah bagi tahun 2025 boleh dikira, maka kerajaan negeri juga sepatutnya mampu mengemukakan pengiraan bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 ketika GRS sendiri mentadbir Sabah.
Katanya, sebagai Menteri Kewangan Negeri, Masidi sepatutnya mempunyai data yang mencukupi untuk menentukan jumlah sebenar hak Sabah bagi tempoh tersebut.
Dalam kenyataan sama, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keadaan semasa isu tuntutan 40% Sabah yang kini masih berada dalam proses mahkamah di Mahkamah Rayuan tetapi pada masa sama terus digambarkan sebagai “masih dalam rundingan”.
Menurut beliau, keadaan tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan hala tuju sebenar kerajaan negeri dalam mempertahankan hak Sabah.
Beliau berkata rakyat Sabah kini tidak lagi memerlukan pengulangan kenyataan sama daripada pelbagai pemimpin dengan skrip politik yang serupa.
Sebaliknya katanya, rakyat mahu jawapan kepada beberapa persoalan asas termasuk apakah pelan sebenar kerajaan, apakah struktur rundingan yang sedang dijalankan, berapakah jumlah sebenar tuntutan bagi tahun 2022 hingga 2025 serta bagaimana wang tersebut akan diperoleh semula.
Beliau turut mempersoalkan apakah sasaran sebenar kerajaan dan bila penyelesaian tersebut dijangka dapat dicapai.
Menurut beliau, persoalan hari ini bukan lagi sama ada kerajaan menyokong hak 40% Sabah kerana seluruh rakyat Sabah sememangnya menyokong tuntutan tersebut.
Sebaliknya katanya, persoalan sebenar ialah apakah tindakan susulan yang sedang diambil oleh kerajaan negeri.
Beliau menegaskan bahawa sekadar melaungkan istilah seperti “kami menyokong” atau “kami komited” tidak lagi membawa makna sekiranya tidak disertakan dengan tindakan, angka, mekanisme, garis masa dan hasil yang jelas.
Katanya, sehingga semua persoalan tersebut dijawab secara terbuka dan telus, istilah “komitmen” hanya akan kekal sebagai label politik tanpa kandungan pelaksanaan sebenar.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Usul Kapayan difailkan bukan untuk menambah retorik politik tetapi bagi memaksa ketelusan, membuka ruang perbahasan dan menghentikan budaya kenyataan umum tanpa pelan tindakan yang boleh dipertanggungjawabkan.
Namun menurut beliau, penolakan usul tersebut hanya mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak bersedia untuk membenarkan perbahasan terbuka mengenai pelaksanaan hak 40% Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Tegas beliau, hak 40% Sabah bukan isu slogan politik tetapi isu Perlembagaan yang memerlukan pelaksanaan sebenar dan bukannya pengulangan kenyataan media semata-mata.
Katanya, rakyat Sabah berhak mendapat lebih daripada sekadar kenyataan politik kerana mereka berhak kepada pelan, tindakan dan hasil yang nyata.