KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook menegaskan bahawa ADUN Parti Warisan tidak pernah mempolitikkan isu pendidikan di Sabah sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai semak dan imbang dalam menyuarakan masalah pendidikan yang telah lama diabaikan.
Menurut beliau, antara isu utama yang dibangkitkan ialah keadaan sekolah-sekolah di Sabah yang masih berdepan pelbagai masalah kemudahan uzur dan tidak selamat digunakan.
Katanya, penjelasan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berhubung istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” dilihat cuba mengelirukan rakyat serta menutup kegagalan kerajaan dalam menangani masalah kemudahan sekolah yang uzur di negeri ini.
Tham berkata hakikat sebenar ialah keadaan sekolah di Sabah lazimnya dinilai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berdasarkan Skala 1 hingga Skala 7.
Menurut beliau, bangunan atau sekolah yang berada pada Skala 7 bermaksud bangunan tersebut telah disahkan tidak selamat serta disyorkan untuk dirobohkan oleh JKR dan biasanya memerlukan pembinaan semula sepenuhnya.
Katanya, Skala 6 pula merujuk kepada bangunan yang disahkan tidak selamat dan memerlukan penggantian atau pembangunan semula dengan kadar segera manakala Skala 5 melibatkan bangunan yang dilaporkan kurang selamat dan memerlukan pengesahan teknikal serta tindakan pembaikan segera.
Beliau menjelaskan bahawa sesebuah sekolah mungkin hanya mempunyai satu atau dua blok bangunan yang berada pada Skala 6 atau 7 namun sekolah tersebut tetap secara keseluruhannya boleh dikategorikan sebagai sekolah daif kerana sebahagian kemudahannya sudah tidak selamat digunakan walaupun masih ada bahagian lain yang boleh digunakan.
Menurut beliau, istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” tidak boleh dipisahkan semata-mata untuk bermain dengan istilah dan angka bagi mengurangkan persepsi negatif terhadap keadaan sebenar sekolah di Sabah.
Tham turut menegaskan bahawa sekiranya keseluruhan bangunan sekolah berada pada Skala 7, maka proses pemindahan atau penyuraian murid perlu dilakukan segera demi keselamatan pelajar dan guru.
Dalam masa sama, beliau berkata pendedahan bahawa Sabah mempunyai jumlah bangunan sekolah daif yang tinggi merupakan satu realiti yang perlu diakui dan bukannya disembunyikan.
Katanya, perkara tersebut bukan bertujuan menjatuhkan maruah mana-mana pihak atau kerajaan tetapi bagi mendesak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia supaya memberi perhatian lebih serius terhadap isu sekolah daif di Sabah.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses penggantian dan penyelenggaraan sekolah daif dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan.
Selain itu, Kerajaan Sabah juga diminta memainkan peranan lebih tegas dalam mendesak supaya kerja pembaikan dan pembinaan semula sekolah dapat disegerakan demi masa depan pendidikan anak-anak Sabah.
Dalam kenyataan sama, Tham berkata rakyat Sabah seharusnya bersyukur kerana masih terdapat ADUN Parti Warisan yang berani menyuarakan dan memberi perhatian serius terhadap isu pendidikan di negeri ini.
Menurut beliau, suara yang dibawa bukan sahaja didengar rakyat malah turut mendapat perhatian serta tindakan segera daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar Sabah terus terbela.
Tegas beliau, beliau akan terus bersuara tanpa gentar demi rakyat dan masa depan pendidikan Sabah walau di mana sekalipun isu tersebut berlaku.