TERKINI
ISU SK SIMPANGAN PAITAN, BELURAN – BANJIR SEJAK FEBRUARI 2026: MENGAPA TINDAKAN DILENGAHKAN?
Pendidikan 2 min baca 324 tontonan

ISU SK SIMPANGAN PAITAN, BELURAN – BANJIR SEJAK FEBRUARI 2026: MENGAPA TINDAKAN DILENGAHKAN?

Ringkasan

Banjir besar di SK Simpangan, Paitan sejak Februari 2026 menyebabkan murid dan guru berdepan kesukaran. Tindakan pemindahan sekolah lambat, menimbu...

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

ISU SK SIMPANGAN PAITAN, BELURAN – BANJIR SEJAK FEBRUARI 2026: MENGAPA TINDAKAN DILENGAHKAN?

Banjir besar yang hampir memusnahkan SK Simpangan, Paitan berlaku pada pertengahan Februari 2026. Sejak kejadian tersebut, murid dan guru telah berdepan kesukaran serius untuk meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selamat.

Namun, selepas lebih dua bulan berlalu, apa yang diumumkan hanyalah cadangan pemindahan sekolah di bawah RMK-13. Ini menimbulkan persoalan serius mengenai kecekapan serta keutamaan tindakan kerajaan dalam menangani isu pendidikan pasca bencana.

Mengapa perlu menunggu begitu lama untuk tindakan konkrit diambil? Jika kerajaan benar-benar serius dan peka terhadap nasib pendidikan di Sabah, seharusnya sejurus selepas bencana berlaku, peruntukan kecemasan telah digerakkan serta-merta bagi menyediakan kemudahan pembelajaran sementara yang selamat serta memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.

Sebaliknya, murid terus ditempatkan dalam keadaan sementara yang tidak kondusif, termasuk ruang yang tidak lengkap dan tidak sesuai sebagai bilik darjah sepenuhnya. Mengapa tindakan hanya kelihatan dipercepatkan selepas isu ini mendapat perhatian umum?

Apabila sekolah musnah akibat bencana, respons kerajaan sepatutnya bersifat darurat dan segera, bukan bergantung semata-mata kepada proses perancangan jangka panjang.

Saya menyambut baik penempatan sementara murid di dewan terbuka SMK Simpangan dengan sekatan sebagai langkah kecemasan. Namun, ia jelas hanya merupakan penyelesaian minimum yang terpaksa diambil akibat kelewatan pelaksanaan tindakan yang lebih menyeluruh.

Dari sudut standard pendidikan, persekitaran pembelajaran mesti memenuhi elemen asas seperti keselamatan, keselesaan, dan keberkesanan pedagogi. Dewan terbuka, walaupun disekat, tidak memenuhi ciri sebuah bilik darjah yang kondusif dari segi kawalan bunyi, suhu, pencahayaan, serta ruang pembelajaran yang sesuai.

Dalam situasi bencana yang memusnahkan sekolah, terdapat pelbagai alternatif yang lebih sesuai dan telah digunakan di banyak tempat, seperti kelas modular, kontena pendidikan, atau bangunan sementara lengkap sebagai sekolah transit. Pendekatan ini bukan sahaja lebih teratur, malah memastikan kesinambungan pembelajaran tidak terganggu secara berpanjangan.

Kenyataan bahawa murid akan ditempatkan di dewan terbuka “sehingga bangunan baharu siap dibina” menimbulkan dua persoalan asas yang masih belum dijelaskan dengan jelas: berapa lama tempoh pembinaan, dan berapa lama murid akan berada dalam keadaan sementara ini. Kementerian Pendidikan Malaysia wajar memberikan garis masa yang jelas dan telus kepada rakyat.

Anak-anak di Sabah tidak wajar menerima standard pendidikan yang lebih rendah hanya kerana faktor geografi dan kelewatan tindakan pentadbiran. Pendidikan mereka tidak boleh terus digantung atas alasan proses dan birokrasi.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk