KOTA KINABALU: ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming mempersoalkan kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerajaan GRS sedang mempertimbangkan untuk membawa usul berkaitan tuntutan 40% hasil Sabah pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah akan datang.
Menurut beliau, kenyataan tersebut menimbulkan persoalan asas yang sehingga kini gagal dijawab secara jujur dan konsisten oleh kerajaan negeri.
Katanya, sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai komitmen politik dan institusi untuk mempertahankan hak Perlembagaan Sabah, mengapa Usul Kapayan yang membawa perkara sama terlebih dahulu telah ditolak daripada dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Beliau berkata percanggahan tersebut tidak boleh dipadamkan melalui retorik politik lebih-lebih lagi apabila cadangan kerajaan untuk membawa usul sendiri hanya muncul selepas Usul Kapayan ditolak.
Menurut Chin, sekiranya rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan benar-benar berjalan lancar seperti yang didakwa pimpinan GRS, kerajaan sepatutnya sudah mampu membentangkan penyelesaian konkrit lengkap dengan formula pelaksanaan, mekanisme pengiraan, garis masa pembayaran dan komitmen institusi yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan.
Namun katanya, rakyat Sabah sehingga kini hanya diberikan kenyataan umum yang bersifat bersyarat dan tidak mempunyai sebarang kepastian yang boleh diuji atau dikuatkuasakan.
Beliau berkata hakikat bahawa kerajaan kini mahu membawa satu lagi usul rasmi menunjukkan isu tuntutan 40% Sabah masih belum mencapai penyelesaian muktamad dan masih berdepan ketidakpastian yang serius.
Menurut beliau, keadaan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada naratif “rundingan berjalan lancar” selama ini hanyalah bentuk pengurusan persepsi politik bagi meredakan tekanan rakyat Sabah terhadap kegagalan kerajaan mempertahankan hak negeri secara terbuka dan tegas.
Chin turut menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan “masih berunding” seolah-olah proses rundingan itu sendiri sudah mencukupi untuk dianggap sebagai kejayaan.
Katanya, sekiranya rundingan benar-benar efektif dan mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan, pertikaian tersebut tidak perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan kini berada di Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata perkembangan tersebut membuktikan bahawa isu tuntutan 40% Sabah kini bukan lagi sekadar isu pentadbiran atau rundingan politik biasa tetapi telah berkembang menjadi pertikaian Perlembagaan yang serius berkaitan tafsiran dan pematuhan terhadap Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan sama, Chin turut membangkitkan persoalan mengenai pencapaian substantif Datuk Armizan Mohd Ali ketika memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Menurut beliau, rakyat Sabah berhak bertanya apakah formula muktamad yang telah dipersetujui, apakah mekanisme rasmi pengiraan yang berjaya diwujudkan serta sama ada data lengkap hasil Persekutuan daripada Sabah pernah didedahkan secara telus kepada kerajaan negeri.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Sabah benar-benar telah menerima pelaksanaan penuh hak Perlembagaannya atau sekadar menerima bayaran interim berserta kenyataan politik yang tidak mempunyai kepastian undang-undang.
Bagi mengelakkan kekeliruan rakyat, Chin menjelaskan bahawa Usul Kapayan yang ditolak sebelum ini bukan bersifat sub judice dan bukan bertujuan mencampuri prosiding mahkamah.
Sebaliknya katanya, usul tersebut bertujuan menetapkan pendirian rasmi institusi Dewan Undangan Negeri Sabah berkaitan hak Perlembagaan Sabah yang berterusan.
Menurut beliau, antara kandungan utama usul tersebut ialah mengesahkan bahawa hak 40% Sabah kekal berkuat kuasa selepas tahun 2021, mengiktiraf hak tersebut meliputi tahun 2022 hingga tahun-tahun seterusnya serta menuntut mekanisme rasmi yang telus dan boleh diaudit bagi menentukan jumlah sebenar hasil Persekutuan daripada Sabah.
Katanya, usul itu juga menuntut pendedahan penuh data hasil Persekutuan berkaitan Sabah selain memastikan Sabah mempunyai asas institusi dan rekod Hansard yang kukuh untuk tindakan lanjut termasuk rundingan, tuntutan masa depan dan prosiding undang-undang.
Chin berkata percubaan melabelkan Usul Kapayan sebagai “politik” atau “mengganggu proses mahkamah” adalah gambaran yang tidak tepat dan bersifat defensif.
Beliau turut mempersoalkan kandungan sebenar usul yang ingin dibawa kerajaan GRS termasuk sama ada kerajaan bersedia mengesahkan secara jelas bahawa hak 40% Sabah terus terakru selepas tahun 2021, menuntut pendedahan penuh hasil Persekutuan daripada Sabah serta menetapkan garis masa penyelesaian yang jelas.
Menurut beliau, rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada usul tersebut benar-benar mempunyai nilai penguatkuasaan atau sekadar satu lagi kenyataan simbolik politik.
Tegas beliau, isu sebenar hari ini bukan lagi sama ada hak 40% Sabah wujud atau tidak kerana hak tersebut memang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya katanya, persoalan utama ialah sama ada kerajaan mempunyai keberanian politik dan ketegasan institusi untuk mempertahankan dan menguatkuasakan hak Sabah secara konsisten terhadap Kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa hak 40% Sabah bukan bantuan ihsan, bukan dana politik dan bukan pemberian sukarela tetapi obligasi Perlembagaan yang wajib dipatuhi dan tidak boleh terus dilengah-lengahkan tanpa penghujung atas alasan “masih berunding”.