KENYATAAN MEDIA: BERHUBUNG CADANGAN NGO SABAH ACTION BODY ADVOCATING RIGHTS (SABAR) MENCABAR AKTA PELANTAR Benua 1966 DAN AKTA LAUT WILAYAH 2012 DI MAHKAMAH
Saya menyambut baik, malah memuji usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) dalam meneruskan cabaran undang-undang berkaitan hak Sabah terhadap Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Laut Wilayah 2012. Usaha ini menunjukkan keprihatinan masyarakat sivil dalam mempertahankan hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Walau bagaimanapun, walaupun SABAR telah diberikan status locus standi oleh mahkamah, pada pandangan saya pihak yang sebenarnya mempunyai kedudukan locus standi yang lebih kukuh ialah Kerajaan Negeri Sabah. Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab dan mandat langsung daripada rakyat untuk mempertahankan hak negeri, termasuk dalam perkara yang melibatkan kedaulatan perairan, pelantar benua serta hasil negeri.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sabah sepatutnya tampil ke hadapan untuk membawa sendiri perkara ini ke mahkamah bagi menuntut hak yang berkaitan dengan Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Laut Wilayah 2012 demi kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan.
Sekiranya Kerajaan Negeri Sabah tidak berhasrat atau tidak berani untuk mengambil tindakan undang-undang tersebut, maka adalah wajar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk membantu membiayai kos perbicaraan yang sedang ditanggung oleh SABAR. Sokongan kewangan ini penting bagi memastikan usaha menuntut hak Sabah dapat diteruskan tanpa halangan, kerana perkara ini melibatkan kepentingan negeri serta generasi akan datang.
Selain itu, beberapa Ahli Parlimen dan ADUN, termasuk ADUN Dilantik yang mempelopori perkara ini seperti dalam sidang akhbar kelmarin adalah terdiri daripada parti-parti komponen dalam Kerajaan Negeri Sabah sendiri. Oleh itu, saya mencadangkan supaya perkara ini turut dibawa ke dalam perbincangan rasmi di peringkat parti-parti komponen kerajaan negeri agar satu pendirian yang lebih tegas dan berani dapat diambil secara bersama.
Jika perlu, gunakanlah saluran politik dan desakan dalam kerajaan bagi memastikan Kerajaan Negeri Sabah mengambil tindakan yang sewajarnya. Isu berkaitan hak perairan dan pelantar benua bukan isu kecil, tetapi melibatkan kedaulatan negeri serta hasil yang memberi kesan besar kepada pembangunan Sabah pada masa hadapan.
Hak Sabah bukan isu individu atau pertubuhan semata-mata, tetapi merupakan hak seluruh rakyat negeri ini yang wajib dipertahankan dengan penuh tanggungjawab, kesungguhan dan keberanian oleh semua pihak yang telah diberi mandat untuk memerintah.
YB THAM YUN FOOK
ADUN N19 Likas