KENYATAAN MEDIA: Isu Penolakan Usul DUN dan Hak 40% Sabah. Hentikan Retorik, Laksanakan Tanggungjawab
Kenyataan YB Datuk Armizan Mohd Ali berhubung penolakan usul persendirian ADUN Kapayan bukan sahaja gagal menjawab isu sebenar, malah cuba mengalihkan perhatian daripada persoalan utama — sejauh mana kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menterjemahkan hak 40% Sabah kepada pelaksanaan yang nyata.
Pertama, alasan bahawa penolakan usul adalah sepenuhnya di bawah kuasa Speaker tidak boleh dijadikan perisai politik. Umum mengetahui, dalam amalan Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen, Kerajaan mempunyai pengaruh jelas terhadap keutamaan dan perjalanan urusan Dewan. Menggunakan alasan prosedur untuk mengelakkan perbahasan mengenai hak 40% hanya menimbulkan persoalan serius tentang keikhlasan dan keutamaan sebenar Kerajaan Negeri.
Kedua, dakwaan bahawa penolakan usul tidak mencerminkan penolakan terhadap perjuangan 40% adalah hujah yang lemah. Jika benar Kerajaan Negeri tegas dan komited, tiada sebab untuk mengelakkan perbahasan terbuka di Dewan. Hak sebesar ini sepatutnya diperkuatkan melalui rekod rasmi DUN, bukan dielakkan. Jika Kerajaan tidak bersetuju dengan usul pembangkang, Kerajaan mempunyai ruang untuk membawa usul yang sama dan membenarkannya dibahaskan serta diundi secara terbuka.
Ketiga, cubaan menumpang kredibiliti tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Sabah Law Society adalah tidak tepat. Tindakan tersebut adalah inisiatif bebas, bukan hasil kepimpinan proaktif Kerajaan Negeri. Penyertaan sebagai responden tidak boleh diputar sebagai bukti perjuangan agresif. Malah, terdapat pendirian tertentu sebelum ini yang menimbulkan persoalan apabila hak 40% ditafsirkan bukan sebagai hak mutlak dalam penghujahan tertentu.
Keempat, kenyataan mengenai sasaran RM3 bilion setahun tanpa formula yang jelas, asas pengiraan yang telus, serta garis masa pelaksanaan yang konkrit hanya menimbulkan keraguan. Rakyat Sabah tidak memerlukan angka besar di atas kertas, tetapi mekanisme yang pasti dan boleh dilaksanakan.
Kelima, tuduhan bahawa Kerajaan Warisan “bersetuju” menerima RM53.4 juta pada tahun 2020, kononnya jauh lebih rendah berbanding RM600 juta pada era GRS, adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Hakikatnya, penerimaan jumlah tersebut berlaku dalam konteks perubahan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan pada ketika itu. Kerajaan Persekutuan telah memohon pertimbangan Kerajaan Negeri untuk memberikan ruang bagi menstruktur semula kedudukan kewangan negara, termasuk beban hutang dan komitmen perbelanjaan yang diwarisi, di samping memberikan komitmen jelas untuk menunaikan tuntutan MA63.
Dalam konteks itu, melalui Belanjawan Negara 2020, buat pertama kali sejak tahun 1969, kadar geran khas Sabah telah dinaikkan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta. Walaupun Kerajaan Warisan menerima kenaikan tersebut, ia sama sekali tidak pernah menggugurkan atau menjejaskan tuntutan hak Sabah, termasuk hak 40% di bawah Federal Constitution of Malaysia.
Kerajaan Persekutuan ketika itu juga telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan kadar geran khas Sabah secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. Justeru, peningkatan kepada RM600 juta yang dinikmati hari ini bukanlah pencapaian terasing, tetapi merupakan kesinambungan daripada komitmen yang telah dimulakan pada tahun 2020.
Oleh itu, jika dianggap satu kesalahan bagi Kerajaan Warisan menerima RM53.4 juta dalam keadaan tersebut, maka secara logiknya Kerajaan GRS juga harus dipersoalkan kerana menerima RM600 juta — satu jumlah yang masih jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar yang sepatutnya diterima Sabah.
Berdasarkan kenyataan rasmi di DUN oleh Menteri Kewangan Negeri, anggaran hasil yang berkaitan mencecah tidak kurang daripada RM8 bilion setahun. Jika prinsip 40% dilaksanakan sepenuhnya, Sabah sepatutnya menerima sekurang-kurangnya sekitar RM3.2 bilion setahun.
Realitinya, walaupun RM600 juta lebih tinggi daripada RM53.4 juta, ia masih jauh daripada jumlah yang sepatutnya. Maka isu sebenar bukanlah membandingkan angka kecil dengan angka sederhana, tetapi mengapa Sabah masih belum menerima hak penuh yang dijamin oleh Perlembagaan.
Keenam, kenyataan bahawa kononnya Kerajaan Warisan melakukan “kekhilafan” dalam menerima kenaikan tersebut juga perlu dilihat secara jujur dari sudut sejarah.
Sebelum tahun 2018, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun sebagai geran khas tanpa sebarang semakan atau kenaikan yang bermakna untuk tempoh yang panjang. Persoalannya, siapakah yang memerintah Sabah pada ketika itu?
Ramai dalam kalangan kepimpinan yang sama hari ini, termasuk YB Datuk Armizan sendiri yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri ketika itu, serta beberapa anggota kabinet negeri hari ini, berada dalam kedudukan untuk menyuarakan tuntutan tersebut. Namun, tidak ada usaha yang benar-benar tegas untuk menyemak atau memperjuangkan kenaikan geran khas ketika itu. Malah, kenyataan seperti “apa review-review” masih segar dalam ingatan rakyat Sabah.
Hakikatnya, tuntutan MA63 bukan bermula pada tahun 2018. Ia telah diperjuangkan sejak puluhan tahun, termasuk ketika sebahagian pemimpin hari ini memegang jawatan penting dalam kerajaan dan juga jawatankuasa berkaitan MA63. Namun begitu, kadar geran khas kekal pada tahap RM26.7 juta tanpa sebarang kajian semula yang signifikan sehinggalah perubahan berlaku selepas tahun 2018.
Mengapa sejarah dan rekod ini tidak dinyatakan secara menyeluruh? Adalah tidak adil untuk menuding jari kepada satu pentadbiran, sedangkan kelewatan dan kegagalan ini merupakan isu berpanjangan yang melibatkan pelbagai pihak sepanjang tempoh yang lama.
Ketujuh, tuduhan bahawa usaha membawa usul ke DUN adalah bermotif politik adalah tidak berasas dan tidak logik. Sekiranya benar Warisan berniat mempolitikkan isu 40%, pendekatan paling mudah adalah untuk berdiam diri dan membiarkan kelewatan pelaksanaan berterusan, agar kegagalan tersebut boleh dijadikan modal politik untuk menyerang Kerajaan Negeri.
Namun, tindakan membawa usul tersebut membuktikan sebaliknya. Tujuan sebenar adalah untuk memastikan adanya kesepakatan dan sokongan rentas parti, agar satu pendirian yang jelas dan bersatu dapat dihantar kepada Kerajaan Persekutuan. Sokongan sebulat suara di DUN akan menguatkan kedudukan Sabah, termasuk kepimpinan Kerajaan Negeri sendiri, dalam menuntut hak 40%.
Di Sabah, perbezaan ideologi politik adalah perkara biasa. Namun dalam isu hak 40%, rakyat dan pemimpin — sama ada kerajaan atau pembangkang — seharusnya bersatu. Ini bukan isu parti, tetapi isu hak negeri.
Kelapan, perbezaan pendekatan antara rundingan dan tindakan mahkamah adalah soal strategi, bukan ukuran komitmen. Menggunakan perbezaan ini untuk menuduh pihak lain tidak konsisten hanyalah usaha mengalih fokus daripada kegagalan menghasilkan keputusan yang nyata.
Kesembilan, pengiktirafan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bahawa Sabah berhak kepada 40% hasil adalah satu langkah penting. Namun, pengiktirafan tanpa pelaksanaan adalah tidak memadai. Rakyat Sabah berhak menuntut lebih daripada sekadar kenyataan — mereka menuntut hasil yang sebenar.
Akhirnya, isu 40% bukan lagi soal siapa yang lebih lantang bersuara, tetapi siapa yang benar-benar mampu melaksanakannya. Selagi perbahasan dielakkan, formula tidak dijelaskan, tempoh masa pelaksanaan tidak ditetapkan, dan pelaksanaan terus tertangguh, segala kenyataan yang dibuat tidak lebih daripada retorik politik.
Sehubungan itu, satu langkah yang lebih telus dan berani wajar diambil. YB Datuk Armizan selaku anggota Kabinet Persekutuan mempunyai kedudukan untuk memohon agar semua minit mesyuarat berkaitan tuntutan MA63 — termasuk mesyuarat Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri serta minit mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa kecil — dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum.
Jangan bersikap selektif dalam mendedahkan dokumen. Jika ingin didedahkan, maka dedahkan keseluruhannya — termasuk minit dan perbincangan semasa pentadbiran terdahulu dan semasa.
Biarlah dokumen-dokumen tersebut diteliti secara terbuka, khususnya oleh rakyat Sabah, agar penilaian dapat dibuat berdasarkan fakta dan rekod sebenar, bukan naratif politik yang dipilih secara selektif.
Rakyat Sabah berhak mengetahui kebenaran sepenuhnya. Ketelusan bukan satu pilihan — ia adalah keperluan.
MOHD AZIS BIN HJ JAMMAN
KETUA PENERANGAN WARISAN PUSAT
— Tamat —