KENYATAAN MEDIA: Penangguhan Hak 40%: Rakyat Sabah Tidak Perlukan Alasan, Mereka Perlukan Pelaksanaan
Kenyataan YB Datuk Mustapha Sakmud bahawa penangguhan tuntutan 40% bukan satu penafian hak Sabah adalah sesuatu yang sukar untuk diterima tanpa persoalan.
Hakikatnya, isu ini bukan lagi berkisar kepada sama ada hak tersebut wujud atau tidak. Mahkamah telah membuat keputusan yang jelas, dan Perdana Menteri sendiri telah mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak Sabah ke atas 40% hasil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam keadaan ini, persoalan sebenar adalah: mengapa pelaksanaan masih ditangguhkan?
Alasan bahawa semakan data sejak tahun 1974 diperlukan tidak boleh dijadikan justifikasi untuk terus melengah-lengahkan pelaksanaan hak yang telah diiktiraf. Kenyataan sedemikian hanya menimbulkan persepsi bahawa kerajaan sedang “membeli masa”, bukannya menyelesaikan isu.
Lebih membimbangkan, naratif ini seolah-olah cuba mengelirukan rakyat Sabah dengan menggambarkan bahawa keseluruhan pelaksanaan bergantung sepenuhnya kepada penyelesaian data lampau. Sedangkan realitinya, pelaksanaan ke hadapan boleh dimulakan tanpa perlu menunggu penyelesaian penuh isu tunggakan.
Sehubungan itu, pendekatan yang lebih jujur dan bertanggungjawab perlu diambil.
Pertama, Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan satu jangka masa yang jelas (timeframe) untuk memulakan pembayaran 40% hasil Sabah secara “moving forward”.
Ini boleh dilaksanakan dengan menetapkan satu jangka masa yang jelas, contohnya dalam tempoh satu, dua atau tiga tahun, di mana Kerajaan Persekutuan akan mula membayar hak 40% Sabah selaras dengan tuntutan Perlembagaan. Pendekatan ini bukan sahaja memberi kepastian kepada rakyat Sabah, malah memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat persiapan, penyelarasan fiskal serta penstrukturan semula perbelanjaan, memandangkan mereka mengetahui bahawa dalam tempoh yang ditetapkan tersebut, pembayaran hak 40% ke atas kutipan hasil di Sabah akan mula dilaksanakan.
Kedua, isu tunggakan sejak tahun 1970-an wajar dibincangkan secara berasingan melalui rundingan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kaedah penyelesaian boleh dipertimbangkan secara fleksibel, termasuk dalam bentuk pembayaran kewangan atau melalui instrumen lain seperti pegangan ekuiti dalam syarikat milik kerajaan yang setara nilainya.
Apa yang penting, prinsip asas tidak boleh dikompromi — hak rakyat Sabah mesti dipulangkan kepada Sabah.
Sebagai Menteri yang diberi tanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak, adalah menjadi kewajipan untuk mempertahankan hak ini dengan tegas, bukannya dilihat seolah-olah selari dengan pendekatan Kerajaan Persekutuan yang terus melengah-lengahkan pelaksanaan melalui alasan teknikal yang berpanjangan tanpa penyelesaian yang jelas. Persoalannya, adakah YB Datuk Mustapha Sakmud berada dalam kedudukan ini untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah, atau sekadar mempertahankan pendekatan yang akhirnya merugikan rakyat Sabah sendiri?
Rakyat Sabah hari ini tidak lagi mahu mendengar penjelasan yang sama berulang kali sejak berdekad lamanya. Mereka menuntut satu perkara yang lebih asas — kepastian dan tindakan.
Datuk Mohd Azis Bin Jamman
Ketua Penerangan Warisan Pusat