TERKINI
Kesesakan Pelabuhan Sepanggar Semakin Kritikal, Ekonomi Sabah Tidak Boleh Terus Jadi Mangsa Kegagalan Operasi
Semasa 3 min baca 761 tontonan

Kesesakan Pelabuhan Sepanggar Semakin Kritikal, Ekonomi Sabah Tidak Boleh Terus Jadi Mangsa Kegagalan Operasi

Ringkasan

Satu kenyataan bersama oleh Datuk Azis Jamman, YB Tham Yun Fook, YB Chin Tek Ming dan KC Chen menegaskan bahawa krisis kesesakan di Pelabuhan Sepanggar kini berada pada tahap serius sehingga memberi kesan langsung kepada ekonomi Sabah, operasi perniagaan, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat.

Mereka turut menggesa kerajaan negeri serta pihak berkaitan tampil dengan pelan tindakan segera dan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi kelemahan operasi pelabuhan yang didakwa semakin membebankan pemain industri dan pengguna di Sabah.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU: Kesesakan di Pelabuhan Sepanggar disifatkan semakin serius dan tidak lagi boleh dianggap sebagai gangguan sementara selepas lawatan serta pertemuan bersama pemandu lori kontena, pengendali logistik, ejen penghantaran dan pemain industri yang terkesan dijalankan baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama oleh Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman, ADUN Likas YB Tham Yun Fook, ADUN Kapayan YB Chin Tek Ming serta Ahli Majlis Tertinggi Warisan KC Chen, mereka berkata keadaan semasa menunjukkan ramai pemain industri kini berdepan tekanan operasi dan kewangan yang semakin membimbangkan.

Menurut mereka, situasi di lapangan mengesahkan dakwaan Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) Sabah sebelum ini bahawa pelabuhan tersebut kini berada dalam keadaan “paralysis” atau lumpuh.

Antara masalah utama yang dibangkitkan oleh pemain industri termasuk tempoh menunggu yang terlalu lama untuk pergerakan kontena, kesesakan proses gate-in dan gate-out, kelewatan pelepasan kontena, gangguan jadual kapal, rollover kontena serta peningkatan kos detention dan demurrage.

Mereka berkata situasi tersebut kini turut menyebabkan peningkatan kos pengangkutan dan memberi kesan besar kepada keseluruhan rantaian bekalan di Sabah.

Menurut kenyataan itu, pada 30 April 2026 syarikat perkapalan telah mula mengenakan congestion surcharge sebanyak RM500 bagi kontena 20 kaki dan RM1,000 bagi kontena 40 kaki susulan keadaan operasi di Pelabuhan Sepanggar.

Tambah mereka, syarikat pengangkutan dan haulier juga dijangka mengenakan surcaj tambahan sekitar RM200 bagi kontena 20 kaki dan RM300 bagi kontena 40 kaki atas alasan peningkatan masa operasi dan kelewatan penghantaran.

Katanya, semua kos tambahan tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengguna biasa di Sabah.

Mereka menegaskan bahawa isu tersebut bukan lagi sekadar masalah pengurusan pelabuhan tetapi kini telah menjadi isu ekonomi serius yang memberi kesan kepada daya saing Sabah, keyakinan pelabur, kestabilan rantaian bekalan serta kos sara hidup rakyat.

Menurut mereka lagi, pemain industri Sabah sememangnya telah lama berdepan kelemahan struktur berbanding Semenanjung Malaysia akibat kos logistik dan pengangkutan yang lebih tinggi.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa kekurangan kren operasi dipercayai menjadi antara punca utama kesesakan di pelabuhan berdasarkan maklum balas pemain industri yang mendakwa kapasiti pemunggahan dan pemindahan kontena tidak mencukupi.

Selain itu, kekurangan kawasan buffer zone, ruang penyimpanan dan kapasiti container yard turut memburukkan lagi tekanan kesesakan di kawasan pelabuhan.

Sehubungan itu, mereka mempersoalkan apakah pelan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri dalam menyelesaikan krisis tersebut.

Mereka turut bertanya mengapa langkah segera seperti peluasan kawasan operasi pelabuhan, penambahan buffer zone serta pembelian kren tambahan masih belum dilaksanakan secara agresif walaupun kesannya terhadap ekonomi Sabah semakin jelas.

Menurut mereka, sekiranya tindakan segera gagal diambil, Sabah berisiko kehilangan lebih banyak peluang pelaburan dan keyakinan industri kepada wilayah lain yang mempunyai sistem logistik lebih cekap dan stabil.

Dalam kenyataan sama, mereka menegaskan bahawa isu tersebut tidak sepatutnya dijadikan permainan politik sebaliknya perlu ditangani secara segera melalui koordinasi, ketelusan dan penyelesaian praktikal.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk tindakan operasi segera untuk mengurangkan backlog kontena, peluasan kapasiti operasi sementara, penambahan kapasiti kren, peluasan kawasan penyimpanan serta penyelarasan lebih baik antara operator pelabuhan, syarikat perkapalan, haulier dan agensi logistik.

Mereka turut menggesa Sabah Ports Authority dan kementerian berkaitan supaya memberikan kemas kini berkala kepada rakyat mengenai langkah mitigasi dan tempoh pemulihan operasi.

Dalam masa sama, mereka turut membangkitkan persoalan mengenai kemampuan syarikat usaha sama diketuai DP World yang berpangkalan di Dubai untuk melaksanakan tanggungjawabnya susulan kesan konflik Iran-Amerika Syarikat terhadap operasi antarabangsa.

Menurut mereka, pelabuhan merupakan pintu utama ekonomi Sabah dan sebarang kelemahan operasi akan memberi kesan langsung kepada pengilang, PKS, pelabur serta pertumbuhan ekonomi negeri secara keseluruhan.

Tegas mereka, rakyat Sabah berhak menikmati sistem logistik yang moden, cekap dan boleh dipercayai bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan bukannya menjadi penghalang kepada pembangunan.

Video lawatan:

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk