KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik Parti Warisan, Christopher Masudal memandang serius krisis kesesakan pelabuhan di Sabah yang kini didakwa semakin kritikal sehingga mengganggu operasi industri, perdagangan dan rantaian bekalan negeri.
Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) Sabah, Liaw Hen Kong, yang membangkitkan kebimbangan mengenai situasi kesesakan pelabuhan yang memberi kesan besar kepada pemain industri di Sabah.
Menurut Christopher, isu tersebut bukan lagi sekadar masalah logistik tetapi telah menjadi ancaman langsung kepada kebajikan dan masa depan sektor industri utama negeri termasuk pertanian, pembuatan, pemprosesan makanan dan eksport komoditi.
Katanya, sektor pembuatan sahaja menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi Sabah setiap tahun selain menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Pada masa sama, beliau berkata Sabah juga merupakan antara pengeluar utama minyak sawit, koko, makanan laut dan hasil pertanian negara yang sangat bergantung kepada kecekapan operasi pelabuhan serta sistem pengangkutan kargo.
Namun begitu, beliau mendakwa kelemahan pengurusan rantaian bekalan akibat ketidakcekapan dan sikap tidak peduli kerajaan negeri pimpinan GRS menyebabkan pemain industri serta pengguna akhir terpaksa menanggung beban kenaikan kos.
Menurutnya, surcaj tambahan akibat kesesakan pelabuhan kini mencecah sehingga RM500 bagi kontena 20 kaki dan RM1,000 bagi kontena 40 kaki seperti yang dibangkitkan FMM Sabah.
Tambah beliau, pengusaha pengangkutan kontena juga dijangka menaikkan caj antara RM200 hingga RM300 bagi setiap kontena.
Katanya, keadaan tersebut berlaku ketika pemain industri Sabah sedang berdepan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga bahan mentah, tarif elektrik dan utiliti, kos pengangkutan serta kenaikan cukai pintu dan lesen operasi di beberapa kawasan termasuk daerah Penampang.
Christopher berkata semua kenaikan kos tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna dan menyebabkan rakyat Sabah terus berdepan peningkatan harga makanan, barang keperluan serta kos sara hidup.
Beliau turut menegaskan bahawa pemberian fleetcard diesel kepada pengendali logistik tidak membawa makna sekiranya kerajaan negeri sendiri gagal memastikan sistem rantaian bekalan Sabah berfungsi dengan baik.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga perlu sedar bahawa terdapat pihak di Semenanjung yang sentiasa mencari alasan untuk mempertikaikan keputusan Kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel di Sabah.
Katanya, ketidakcekapan pengendalian kargo di pelabuhan Sabah tidak seharusnya menjadi alasan sehingga subsidi diesel di negeri ini akhirnya dihapuskan.
Tambah beliau, sekiranya perkara tersebut berlaku maka keseluruhan Kabinet Sabah perlu bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan FMM Sabah sendiri telah secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kegagalan pengurusan krisis berkenaan.
Christopher berkata dasar dan polisi kerajaan negeri mesti mengutamakan kebajikan serta masa depan pemain industri Sabah kerana golongan tersebut merupakan pemacu utama ekonomi negeri dan penyedia peluang pekerjaan kepada ribuan belia Sabah.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut perlu diselesaikan segera oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta kementerian berkaitan kerana ia melibatkan kemampuan pemain industri Sabah untuk terus bersaing dengan negeri lain seperti Sarawak dan Selangor yang sedang memperkukuhkan infrastruktur pelabuhan serta sistem logistik masing-masing secara agresif.
Sebagai bekas pegawai eksekutif MIDA yang pernah terlibat dalam rundingan dasar serta polisi Kerajaan Persekutuan ketika berkhidmat di MITI, Christopher turut mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa bertindak khas ditubuhkan segera bagi menangani kemelut tersebut secara menyeluruh, profesional dan telus.
Beliau berkata sebarang perbincangan, penemuan dan keputusan berkaitan isu tersebut juga perlu dimaklumkan kepada umum supaya rakyat dan pemain industri mengetahui langkah penyelesaian yang sedang diambil.
Tegas beliau, sekiranya barisan Kabinet Hajiji Noor masih gagal menyelesaikan kemelut tersebut, Parti Warisan mempunyai ramai ADUN dan pegawai sokongan yang bersedia mengambil alih tanggungjawab demi menyelamatkan masa depan ekonomi dan industri Sabah.