Berdasarkan maklumat yang dikongsikan pengguna, operasi feri sebelah petang dihentikan buat sementara waktu atas beberapa faktor operasi yang telah dimaklumkan kepada penumpang.
Perubahan jadual itu menyaksikan hanya satu perjalanan disediakan dari Banggi ke Kudat pada jam 8.00 pagi, manakala perjalanan pukul 2.00 petang dibatalkan. Dari Kudat pula, perjalanan pagi jam 9.00 turut dibatalkan dan hanya perjalanan jam 2.30 petang diteruskan.
Keadaan tersebut menyebabkan terminal dipenuhi penumpang yang terdiri daripada penduduk tempatan, pelajar dan pekerja yang bergantung kepada perkhidmatan feri sebagai pengangkutan utama antara Pulau Banggi dan Kudat.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan pengguna, situasi sama dijangka berulang pada setiap Ahad sekiranya jadual operasi itu diteruskan.
Penduduk berharap jadual perkhidmatan dapat diteliti semula bagi memastikan kelancaran perjalanan serta mengurangkan kesulitan kepada pengguna.
Foto: Ihsan Bhattelmi Semun.