Menurut Ketua Penerangan Wira Warisan Sabah, Mohammad Norizhuan Awang, kenyataan yang mendakwa Kerajaan Warisan pernah bersetuju menerima kadar Pemberian Khas yang lebih rendah hanya mengulang naratif lama tanpa menjelaskan keseluruhan proses rundingan yang berlaku ketika itu.
“Hakikatnya, apabila Kerajaan Warisan mengambil alih pentadbiran Sabah pada tahun 2018, negeri ini hanya menerima RM26.7 juta setahun, iaitu kadar yang tidak pernah disemak sejak 1968 walaupun hak Sabah telah termaktub dalam Perlembagaan.”
Katanya, Kerajaan Warisan tidak pernah menganggap jumlah itu sebagai penyelesaian muktamad, sebaliknya memulakan semula rundingan bagi mendapatkan formula yang selaras dengan hak perlembagaan Sabah.
“Cadangan RM53.4 juta hanyalah bayaran interim dalam proses rundingan. Ia bukan penyelesaian muktamad dan sama sekali bukan penyerahan hak Sabah.”
Menurut Wira Warisan Sabah, persoalan yang lebih besar ialah mengapa Kerajaan Persekutuan hari ini masih gagal melaksanakan formula sebenar yang dijamin oleh Perlembagaan walaupun sudah mentadbir selama beberapa tahun.
Lebih membimbangkan, katanya, ketika rakyat Sabah sedang menuntut pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari Sabah, Kerajaan Persekutuan memilih untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membuka ruang kepada penentuan formula tersebut.
“Bukankah ini satu percanggahan? Di Parlimen bercakap kononnya mempertahankan hak Sabah, tetapi di mahkamah pula Kerajaan Persekutuan memilih untuk merayu keputusan yang berkaitan hak 40 peratus Sabah.”
Menurutnya, Wira Warisan Sabah mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan benar-benar komited melaksanakan hak Sabah atau sekadar menggunakan isu itu sebagai bahan retorik politik.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan ucapan yang memilih sebahagian fakta. Rakyat mahu melihat tindakan. Jika benar Kerajaan Persekutuan ikhlas, mengapa masih mempertahankan tindakan undang-undang yang boleh melambatkan pelaksanaan hak Sabah?”
Wira Warisan Sabah berkata, apa yang dituntut rakyat bukanlah polemik mengenai RM26.7 juta atau RM53.4 juta, tetapi pelaksanaan formula sebenar seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Hak Sabah bukan alat propaganda politik. Hak Sabah ialah hak perlembagaan. Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi tumpuan melaksanakan hak tersebut, bukannya terus mempertahankan naratif politik sambil merayu keputusan mahkamah yang berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.”