Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, 11 rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sekitar 50 peratus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi pemadaman dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan bantuan BBP Kota Kinabalu serta BBP Penampang.
Seramai 37 anggota bersama tiga jentera, dua kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah lori tangki air dan beberapa kenderaan operasi terlibat dalam usaha mengawal kebakaran.
Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan enam pancutan air, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera, lori tangki serta sungai berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.