KOTA KINABALU, April 2026 - ADUN Sebatik, YB Manahing Tinggilani menggesa kerajaan negeri Sabah memberi keutamaan segera terhadap penyelesaian masalah kemudahan asas yang membelenggu rakyat khususnya di kawasan DUN Sebatik, termasuk isu bekalan air bersih, jalan raya, jeti awam, bekalan elektrik serta kos sara hidup.
Ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, beliau berkata rakyat di kawasan Sebatik sudah terlalu lama menantikan pembelaan kerajaan dalam isu kemudahan asas yang disifatkannya masih gagal diselesaikan secara tuntas.
Beliau turut mempersoalkan fokus utama kerajaan negeri dalam memastikan aspirasi “Kesejahteraan Rakyat Diutamakan” benar-benar dapat dicapai menerusi Belanjawan Sabah 2026 yang memperuntukkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6.402 bilion.
Menurut beliau, kesejahteraan rakyat sukar direalisasikan sekiranya masalah infrastruktur asas masih gagal diselesaikan.
Dalam isu bekalan air bersih, beliau berkata kawasan Pulau Sebatik, Kalabakan, Felda Umas, Luasong, Serudung Laut, Brantian dan Sungai Udin terus berdepan masalah kritikal akibat kebergantungan kepada sumber air hujan, terutama ketika musim kemarau dan Monsun Barat Daya antara Mei hingga September.
Beliau berkata ramalan peningkatan intensiti fenomena El-Nino tahun ini dijangka memburukkan lagi keadaan dan menyifatkan masalah air di kawasan tersebut sudah berlarutan lebih enam dekad tanpa penyelesaian menyeluruh.
Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan supaya empangan sedia ada di Pulau Sebatik dikorek semula mengikut spesifikasi asal sedalam 17 meter selain memperkukuhkan benteng sekeliling empangan.
Beliau berkata berdasarkan jawapan bertulis kerajaan sebelum ini, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) merancang melaksanakan projek mendalam dan pengorekan takungan air di Loji Rawatan Air Pulau Sebatik bagi meningkatkan kapasiti sumber air dan berharap projek itu disegerakan.
Untuk langkah jangka pendek, beliau mencadangkan tangki statik ditempatkan di setiap kampung bagi memudahkan pengagihan air ketika musim kemarau selain pemantauan berterusan terhadap kerosakan dan kebocoran paip.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan pembenihan awan oleh MetMalaysia sekiranya musim kemarau berpanjangan bagi meningkatkan kapasiti air di kawasan empangan Wallace Bay.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kerosakan jalan raya khususnya di laluan Merotai-Kalabakan yang disifatkan berbahaya akibat tekanan kenderaan berat lebih muatan dan faktor kualiti pembinaan.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan kenderaan malah turut mengorbankan nyawa pengguna jalan raya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap runtuhan tebing jalan di kawasan DUN Sebatik yang disifatkan sangat berbahaya terutama pada waktu malam berikutan ketiadaan lampu jalan.
Selain itu, beliau memaklumkan projek jalan baharu dari Kampung Bergosong ke Sungai Pukul, Sungai Melayu dan beberapa kampung lain berjalan terlalu perlahan sehingga menimbulkan rungutan penduduk.
Dalam isu kemudahan jeti awam pula, beliau berkata kebanyakan struktur jeti di kawasan DUN Sebatik berada dalam keadaan uzur dan tidak selamat digunakan.
Beliau memaklumkan Jeti SMK Wallace Bay runtuh sepenuhnya pada 22 Mac lalu dan mencadangkan semua jeti kayu di kawasan tersebut dinaik taraf kepada jeti konkrit lengkap dengan pondok menunggu, lampu solar dan kemudahan pendaratan yang lebih baik.
Menyentuh isu bekalan elektrik, beliau berkata gangguan bekalan sering berlaku akibat voltan tidak stabil terutama ketika cuaca buruk.
Menurutnya, beberapa kawasan seperti Kampung Mukandot dan Serudung Laut masih bergantung kepada generator persendirian kerana belum menerima bekalan elektrik daripada Sabah Electricity.
Beliau mencadangkan penggunaan tenaga boleh baharu berasaskan sistem solar hibrid diperluaskan ke kawasan pedalaman sebagai penyelesaian jangka pendek yang lebih mesra alam.
Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan isu status perkampungan di Kampung Mukandot yang menurutnya sudah memohon pewartaan kawasan penempatan sejak tahun 1985 namun masih belum dimuktamadkan sehingga kini.
Katanya, pertambahan populasi dan kewujudan generasi kedua serta ketiga memerlukan kerajaan mempercepatkan proses pewartaan tanah dan penempatan penduduk di Mukandot serta Luasong.
Menyentuh isu kos sara hidup, beliau berkata rakyat Sabah terus tertekan dengan peningkatan harga barang dan gangguan rantaian bekalan global.
Beliau turut membawa suara pengusaha bot pengangkutan laut di Pulau Sebatik dengan memohon agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mempertimbangkan kuota dan subsidi khas bahan api bagi mengawal kos pengangkutan penumpang serta barangan keperluan.
Beliau juga mempersoalkan keberkesanan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam menjamin keterjaminan makanan selain meminta langkah drastik diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan demi menstabilkan harga.
Dalam ucapan sama, beliau turut membangkitkan isu persempadanan antarabangsa Malaysia-Indonesia khususnya di Pulau Sebatik serta kawasan Sungai Sinapad dan Sungai Sesai di Pensiangan.
Beliau berkata isu Outstanding Boundary Problems (OBP) antara Malaysia dan Indonesia melibatkan aspek kedaulatan wilayah, keselamatan, hak kependudukan dan kestabilan ekonomi serantau.
Beliau merujuk kepada Memorandum Persefahaman (MoU) bertarikh 18 Februari 2025 yang memuktamadkan garis sempadan Sabah-Kalimantan Utara dan Pulau Sebatik.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan dakwaan media sosial serta kenyataan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik kini menjadi milik Indonesia selain pertikaian melibatkan kawasan seluas 5,987 hektar di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai keadaan sebenar di kawasan garis Latitud 4°10’ Utara di Pulau Sebatik, kesahihan laporan media sosial berkaitan sempadan serta tahap penglibatan kerajaan negeri dalam proses pemuktamadan sempadan antarabangsa melibatkan wilayah Sabah.
Mengakhiri perbahasan, beliau menegaskan majoriti isu dibangkitkan ahli dewan berkisar kepada masalah kemudahan asas dan kos sara hidup yang menurutnya masih belum mencapai piawaian sewajarnya untuk menjamin kesejahteraan rakyat Sabah.