Program ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN N55 Elopura sebagai usaha memperingati Tragedi Double Six serta memastikan sejarah penting Sabah terus dikenang dan difahami oleh generasi masa kini.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen ADUN Elopura, Calvin Chong dalam memelihara warisan sejarah negeri dan menghargai jasa para pemimpin terdahulu yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan Sabah.
Program dimulakan pada jam 7.00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian sejarah mengenai Tragedi Double Six yang memberi pencerahan kepada para hadirin mengenai peristiwa yang berlaku pada 6 Jun 1976 serta kesannya terhadap landskap politik dan pembangunan negeri Sabah.
Majlis turut diserikan dengan ucapan khas oleh bekas Ahli Parlimen Sandakan era 1980-an, Fung Ket Wing, yang berkongsi pandangan mengenai kepimpinan dan sumbangan tokoh-tokoh yang terkorban dalam tragedi tersebut.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau turut mengimbau kenangan bersama mendiang Chong Thien Vun, salah seorang pemimpin yang terkorban dalam Tragedi Double Six dan merupakan anak jati Sandakan yang memainkan peranan penting dalam kepimpinan negeri ketika itu.
Menurut beliau, Chong Thien Vun pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sandakan sebelum dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah. Sepanjang perkhidmatannya, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi, berwawasan dan sentiasa mengutamakan pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.
Beliau berkata sumbangan Chong Thien Vun dalam memajukan Sandakan dan Sabah secara keseluruhannya telah meninggalkan kesan yang besar kepada masyarakat setempat dan terus dikenang sehingga hari ini.
Fung Ket Wing turut berkongsi bahawa pada 6 Jun 1976, pesawat Sabah Air jenis GAF Nomad yang membawa beberapa pemimpin tertinggi negeri telah terhempas berhampiran perairan Sembulan, Kota Kinabalu hanya beberapa minit sebelum dijadualkan mendarat.
Nahas yang kemudiannya dikenali sebagai Tragedi Double Six itu telah mengorbankan 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens, Chong Thien Vun serta beberapa anggota kabinet negeri yang lain.
Beliau menambah bahawa walaupun tragedi tersebut berlaku hampir lima dekad lalu, jasa dan pengorbanan para pemimpin yang terkorban terus terpahat dalam sejarah negeri dan menjadi inspirasi kepada generasi baharu.
Sebagai simbol penghormatan dan tanda ingatan, sesi penyampaian bunga turut diadakan sebelum majlis diteruskan dengan sesi bergambar dan berakhir sekitar jam 8.00 pagi.
Antara organisasi yang hadir memberikan penghormatan ialah wakil Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Junior Chamber International (JCI), Young Malaysians Movement (YMM) dan Chinese Chamber of Commerce Sandakan.
Turut hadir ialah ADUN Elopura, Calvin Chong; ADUN Sekong, Alias Hj Sani; ADUN Karamunting, Alex Wong; serta ADUN Tanjong Papat, Alex Thien.
Calvin Chong berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar generasi muda dapat memahami sejarah negeri dengan lebih mendalam serta mengambil iktibar daripada pengorbanan dan perjuangan tokoh-tokoh yang telah membentuk perjalanan Sabah sehingga ke hari ini.
Beliau berkata upacara tersebut bukan sahaja menjadi wadah untuk memperingati peristiwa bersejarah yang menyentuh hati rakyat Sabah, malah menjadi platform penting untuk mengingatkan generasi muda tentang kepentingan memahami sejarah negeri serta menghargai jasa pemimpin terdahulu yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Semoga semangat pengorbanan, perpaduan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para pemimpin yang terkorban dalam Tragedi Double Six akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Sabah dalam membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
