WARISAN BANTAH NARATIF KEADILAN, TEGASKAN PROGRES MA63 BERMULA ZAMAN WARISAN & DESAK GARIS MASA JELAS BAYARAN 40% SABAH
KOTA KINABALU, 14 April 2026 — Ketua Penerangan Warisan Pusat, Mohd Azis Jamman, mengemukakan penjelasan terperinci bagi menjawab kenyataan Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri, berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Azis menegaskan bahawa beberapa fakta penting telah diabaikan, khususnya berkaitan kronologi sebenar perkembangan tuntutan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa “warta rahsia” yang menjadi asas penting kepada tindakan undang-undang hanya terbongkar selepas Warisan tidak lagi menjadi kerajaan negeri. Menurutnya, pendedahan itu membuka ruang kepada SLS untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.
“Persoalan siapa yang membongkar perkara ini tidak perlu diperincikan, tetapi hakikatnya ia berlaku selepas Warisan tidak lagi memerintah,” katanya.
Azis turut menegaskan bahawa semakan terhadap geran khas Sabah bermula buat pertama kali ketika pentadbiran Warisan melalui rundingan kerajaan-ke-kerajaan (G2G). Ketika itu, kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan baru sahaja mengambil alih pentadbiran dan memohon masa untuk menyusun semula kewangan negara, termasuk menilai semula projek mega serta komitmen hutang peninggalan Barisan Nasional.
Menurut beliau, Warisan bersetuju dengan kenaikan sementara geran khas, namun meletakkan syarat jelas bahawa tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti diselesaikan dengan garis masa yang konkrit.
“Dalam rundingan tersebut, tuntutan mengenai ‘timeframe’ dinyatakan secara jelas. Sebab itu setiap kali sidang Parlimen, mendiang Datuk VK Liew akan membentangkan perkembangan tuntutan MA63,” katanya.
Azis menambah, hasil rundingan tersebut menyaksikan 17 daripada 21 perkara dalam MA63 dipersetujui secara dasar buat pertama kali oleh kerajaan Persekutuan. Namun beliau mempersoalkan status pelaksanaan baki perkara tersebut ketika ini.
“Warisan hanya memerintah selama 21 bulan. Persoalannya, apakah status 17 perkara yang telah dipersetujui dan baki empat lagi? Tempoh pentadbiran PMX hampir tamat, tetapi perkembangan tidak jelas,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Warisan menerima bayaran RM53 juta tanpa tekanan terhadap tuntutan 40 peratus, Azis menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas. Beliau menjelaskan bahawa ketika itu Sabah dan Persekutuan berada dalam satu kerajaan yang sama, dan rundingan sedang berlangsung secara G2G.
Beliau turut membandingkan situasi tersebut dengan tindakan PH Sabah yang menarik saman terhadap kerajaan Persekutuan walaupun sebelum itu berjanji untuk meneruskan tindakan undang-undang.
“Alasannya sama — kerana berada dalam kerajaan yang sama dan rundingan G2G sedang berjalan. Jadi tidak wajar Warisan dipersoalkan dalam konteks itu,” katanya.
Azis menegaskan bahawa jika “warta rahsia” telah diketahui ketika Warisan masih memerintah, kemajuan tuntutan tersebut berkemungkinan lebih jauh berbanding keadaan semasa.
Dalam kenyataan sama, beliau mengemukakan dua cadangan utama kepada kerajaan Persekutuan. Pertama, menetapkan garis masa jelas bila pembayaran 40 peratus akan mula dilaksanakan.
“Nyatakan secara spesifik — satu, dua, tiga, empat atau lima tahun dari sekarang. Ini penting supaya Sabah boleh merancang perbelanjaan berdasarkan jangkaan hasil,” katanya.
Kedua, beliau mencadangkan agar rundingan formula pembayaran diteruskan secara fleksibel, memandangkan bayaran secara sekaligus adalah sukar dilaksanakan. Namun, beliau menegaskan bahawa pembayaran tetap perlu dibuat kerana ia merupakan hak Sabah.
“Kerajaan Persekutuan mengambil 60 peratus hasil. Maka 40 peratus adalah hak Sabah dan tidak wajar terus dinafikan,” katanya.
Azis turut mengakui bahawa keputusan mahkamah yang mengesahkan hak Sabah hanya berlaku selepas era pentadbiran Warisan, dan merakamkan penghargaan kepada SLS atas peranan mereka membawa perkara itu ke mahkamah.
Beliau turut menyentuh pendirian GRS yang menurutnya selari dalam menuntut pelaksanaan bayaran 40 peratus, sekali gus menunjukkan bahawa isu tersebut merentasi perbezaan politik.
“Ini bukan lagi soal Warisan atau GRS. Ini soal hak rakyat Sabah. Semua pihak kini mempunyai pendirian yang sama — kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan pembayaran 40 peratus,” tegasnya.
Rujuk:
1. Kenyataan Balas kepada Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Encik Ahmad Farid Sainuri.
2. Kenyataan Media oleh Ketua Penerangan Warisan Pusat, Datuk Mohd Azis Bin Jamman:
https://warisanportal.com/post/kenyataan-media-penangguhan-hak-40-rakyat-sabah-tidak-perlukan-alasan-mereka-perlukan-pelaksanaan
3. Video Pembongkaran 'Warta Rahsia' di Parlimen: