TERKINI
WIRA WARISAN CADANG LEBIH BANYAK INISIATIF BANTU ANAK MUDA MILIKI RUMAH PERTAMA
Belia 3 min baca 288 tontonan

WIRA WARISAN CADANG LEBIH BANYAK INISIATIF BANTU ANAK MUDA MILIKI RUMAH PERTAMA

Ringkasan

Wira Warisan Sabah, melalui Naib Ketuanya Khairuddin Daud, menyarankan kerajaan memperkukuh dasar pemilikan rumah pertama untuk membantu anak muda memiliki kediaman sendiri. Harga rumah purata di Malaysia melebihi RM490,000 (data NAPIC), sedangkan pendapatan median di Sabah antara terendah di negara, menyebabkan ramai belia sukar mengumpul wang pendahuluan dan mendapat kelulusan pinjaman.

Warisan Portal
Warisan Portal
KOTA KINABALU, 19 Jun – Wira Warisan Sabah mencadangkan agar kerajaan memperkukuhkan dasar pemilikan rumah pertama bagi membantu lebih ramai anak muda memiliki kediaman sendiri, selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan harga hartanah yang terus menjadi cabaran kepada golongan belia.

Naib Ketua Wira Warisan Sabah, Khairuddin Daud, berkata memiliki rumah sendiri bukan sekadar memenuhi keperluan asas, malah menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang stabil serta jaminan masa depan generasi muda.

Menurut beliau, walaupun ramai anak muda telah memasuki alam pekerjaan, masih ramai yang berdepan kesukaran mengumpul wang pendahuluan, mendapatkan kelulusan pinjaman dan membeli rumah yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

Beliau berkata peningkatan harga rumah yang tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan menyebabkan impian memiliki rumah pertama semakin sukar dicapai.

“Bagi ramai anak muda Sabah hari ini, memiliki rumah sendiri bukan lagi sekadar satu rancangan, tetapi telah menjadi satu impian yang semakin sukar dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga purata rumah di Malaysia kini melebihi RM490,000, manakala kawasan bandar utama terus mencatatkan peningkatan harga hartanah.

Katanya, Bank Negara Malaysia sebelum ini turut menjelaskan bahawa kemampuan memiliki rumah bukan hanya bergantung kepada harga rumah semata-mata, sebaliknya dipengaruhi oleh tahap pendapatan, kos sara hidup serta akses kepada pembiayaan perumahan.

Beliau berkata cabaran itu lebih dirasai di Sabah apabila median pendapatan rakyat masih antara yang terendah di Malaysia, sedangkan harga rumah di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu terus meningkat.

“Keadaan ini menyebabkan ramai anak muda yang mempunyai pekerjaan tetap masih sukar menyediakan wang pendahuluan atau memenuhi syarat pembiayaan untuk memiliki rumah pertama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan terus memperkukuhkan agenda rumah mampu milik dengan meningkatkan penawaran projek perumahan di kawasan strategik yang berhampiran pusat pekerjaan dan kemudahan awam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya skim bantuan deposit rumah pertama diperluaskan kepada golongan belia serta kerjasama antara kerajaan dan institusi kewangan diperkasakan bagi memudahkan akses kepada pembiayaan perumahan.

Mohd Khairuddin turut berpandangan bahawa kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian insentif kepada pemaju yang membina lebih banyak rumah mampu milik, di samping mempercepat proses kelulusan projek yang benar-benar memenuhi keperluan golongan muda.

Menurut beliau, usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang pekerjaan bergaji tinggi juga perlu berjalan seiring dengan dasar perumahan kerana kemampuan memiliki rumah tidak boleh dipisahkan daripada tahap pendapatan seseorang.

“Generasi muda tidak seharusnya menghabiskan usia produktif mereka hanya untuk mengejar impian memiliki sebuah rumah. Mereka sepatutnya diberi peluang untuk merealisasikan impian itu lebih awal hasil daripada usaha dan titik peluh mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata Wira Warisan Sabah percaya bahawa usaha memperluaskan peluang pemilikan rumah pertama bukan sekadar memenuhi keperluan tempat tinggal, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina institusi keluarga yang kukuh, masyarakat yang sejahtera serta pembangunan negeri yang lebih mampan.

“Anak muda Sabah tidak meminta rumah yang mewah. Mereka hanya mengimpikan sebuah rumah yang mampu dimiliki hasil daripada titik peluh mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata kejayaan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah projek perumahan yang dibina semata-mata, tetapi sejauh mana rakyat, khususnya golongan muda, benar-benar mampu memiliki rumah sendiri.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Warisan Portal
Penulis

Warisan Portal

Penulis di WarisanPortal.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk