KUALA LUMPUR,4 Februari 2026 : Presiden Warisan, Shafie Apdal, menegaskan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan isu sempadan Indonesia - Malaysia, pematuan perlembagaan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati serta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan jelas menetapkan garis panduan yang tidak boleh diketepikan, khususnya merujuk kepada Perkara 36(1) dan Artikel 2(b), yang mensyaratkan sebarang perubahan hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Sabah dan persetujuan Majlis Raja-Raja (Conference of Rulers).
“Kita ikut peraturan dan undang-undang yang ada. Peruntukan ini cukup jelas dan penting untuk masa depan serta bagi menghormati Perlembagaan negara kita,” katanya ketika membahaskan perkara berkenaan.
Shafie turut menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk membangkitkan isu-isu lain yang tidak berkaitan, sebaliknya mahu fokus kepada aspek perlembagaan yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan. Walaupun menghormati penjelasan yang telah diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, beliau menyatakan kebimbangannya terhadap implikasi perlembagaan sekiranya sesuatu keputusan dibuat tanpa penelitian menyeluruh.
“Saya bimbang dari sudut perlembagaan. Isu ini bukan perkara kecil dan perlu diteliti dengan mendalam,” katanya.
Dalam pada itu Speaker berkata isu berkenaan bersifat teknikal dan memerlukan penelitian rapi, sambil memohon agar perkara itu tidak dibahaskan secara lanjut ketika ini kerana ramai ahli belum sempat membuat persiapan yang mencukupi. Menurutnya, perbahasan tanpa kefahaman menyeluruh hanya akan melanjutkan perbincangan tanpa mencapai keputusan yang jelas.
Sehubungan itu, Speaker mencadangkan supaya isu berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membolehkan semua pihak berkaitan dipanggil dan perkara tersebut diteliti secara terperinci. Hasil perbincangan itu kemudiannya boleh dibentangkan semula di Dewan sekiranya perlu, bagi mengelakkan perbahasan berpanjangan tanpa kesudahan.