TERKINI
MUNIRAH PERSOAL MENGAPA LAPORAN MA63 MASIH DIRAHSIAKAN
Parlimen 3 min baca 168 tontonan

MUNIRAH PERSOAL MENGAPA LAPORAN MA63 MASIH DIRAHSIAKAN

Ringkasan

Perbahasan itu sekali lagi memperlihatkan bahawa beberapa tuntutan utama Sabah di bawah MA63 masih belum dimuktamadkan, termasuk isu berkaitan petroleum, penambahan kuota kerusi Parlimen serta pendedahan Laporan Akhir JKK MA63 yang sehingga kini kekal diklasifikasikan sebagai dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Warisan Portal
Warisan Portal
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ahli Parlimen Kota Belud, YB Isnaraissah Munirah Majilis, mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih mengklasifikasikan Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai dokumen rahsia walaupun laporan tersebut dipercayai menjadi asas kepada rundingan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak sehingga hari ini.

Dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Munirah meminta kerajaan menjelaskan bilakah laporan yang disiapkan pada tahun 2019 itu akan didedahkan kepada umum supaya rakyat Sabah dapat mengetahui kandungannya, khususnya berkaitan tuntutan-tuntutan utama di bawah MA63 yang masih belum diselesaikan.

“Saya tanya bilakah kerajaan akan buka laporan ini kepada pengetahuan umum kepada public kerana saya percaya laporan ini juga adalah asas perundingan kepada kerajaan-kerajaan selepas ini.

“…. ada empat perkara daripada 11 perkara yang tadi Yang Berhormat Menteri cakap, ada empat perkara yang paling orang Sabah mahu tahu iaitu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum. Kedua, mineral minyak dan medan minyak. Ketiga, Akta Laut Wilayah [Akta 750] dan keempat hak negeri ke atas pelantar benua. Kenapa saya petik empat perkara ini? Sebab empat perkara ini gantung daripada selepas laporan akhir itu yang tadi saya tanya,” katanya.

Menurut Munirah, sekiranya laporan tersebut menjadi asas kepada rundingan MA63 sejak beberapa tahun lalu, rakyat Sabah juga berhak mengetahui kandungannya agar proses pelaksanaan hak-hak Sabah dapat difahami secara lebih telus.

Menjawab persoalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata kerajaan masih mengekalkan keputusan untuk tidak mendedahkan Laporan Akhir JKK MA63 kepada umum.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana laporan berkenaan mengandungi perkara-perkara yang melibatkan perbincangan teknikal serta diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dalam jawapan yang sama, beliau turut mengesahkan bahawa daripada 29 tuntutan yang dibincangkan di bawah platform rasmi MA63, sebanyak 13 perkara telah diselesaikan, lima perkara diselesaikan secara interim, manakala 11 perkara masih belum dimuktamadkan.

Empat daripada sebelas perkara yang masih belum selesai itu ialah royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 serta hak negeri ke atas pelantar benua, yang menurut beliau kini berada di peringkat pertimbangan dan keputusan tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.

Selain itu, Munirah turut membangkitkan status tuntutan supaya Sabah dan Sarawak mempunyai 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen, selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.

Menjawab perkara itu, Datuk Ts. Mustapha berkata tuntutan tersebut masih berada dalam kategori belum selesai dan kini sedang melalui proses kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau menjelaskan bahawa sebarang pertambahan kerusi memerlukan kajian persempadanan semula serta pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

Perbahasan itu sekali lagi memperlihatkan bahawa beberapa tuntutan utama Sabah di bawah MA63 masih belum dimuktamadkan, termasuk isu berkaitan petroleum, penambahan kuota kerusi Parlimen serta pendedahan Laporan Akhir JKK MA63 yang sehingga kini kekal diklasifikasikan sebagai dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972

Isu-isu tersebut terus menjadi antara tuntutan utama rakyat Sabah yang mahu melihat pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara lebih telus, menyeluruh dan selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Warisan Portal
Penulis

Warisan Portal

Penulis di WarisanPortal.

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk