PULAU BANGGI: Isu pendidikan di Sabah memerlukan penyelesaian luar biasa termasuk pemberian autonomi pendidikan kepada negeri ini bagi menangani krisis “ekosistem daif” yang semakin membimbangkan.
Dalam satu kenyataan balas, Naib Ketua Wira Parti Warisan, Mohd Khairuddin Daud berkata kenyataan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib bahawa masalah pendidikan di Sabah melibatkan keseluruhan “ekosistem” pendidikan membuktikan wujudnya kegagalan sistemik yang telah lama berakar.
Menurut beliau, perkara itu selari dengan laporan World Bank menerusi Malaysia Learning Poverty Brief yang mendedahkan Malaysia berdepan masalah serius “Learning Poverty”, di mana 42 peratus kanak-kanak berusia 10 tahun gagal menguasai kemahiran membaca teks mudah.
“Di Sabah, realiti ini jauh lebih membimbangkan. Jika Menteri sendiri mengakui sistem pendidikan kita daif, maka pendekatan lama tidak lagi memadai.
“Autonomi pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk merombak keseluruhan ekosistem mengikut acuan dan keperluan Sabah,” katanya.
Beliau berkata laporan Bank Dunia turut menunjukkan kaitan rapat antara kemiskinan dan akses pendidikan, khususnya di Sabah yang dikenal pasti sebagai negeri dengan kadar kemiskinan tertinggi akibat ketidakseimbangan pembangunan infrastruktur dan pendidikan.
Katanya, Sabah juga berisiko lebih tinggi berdepan fenomena “Lost Generation” pasca pandemik susulan masalah capaian internet dan keciciran pelajar yang masih serius di kawasan luar bandar.
“Walaupun Malaysia membelanjakan jumlah besar untuk pendidikan, iaitu sekitar 19 peratus lebih tinggi daripada purata negara Asia Timur dan Pasifik, hasil yang dicapai di Sabah masih tidak setimpal.
“Ini membuktikan masalah sebenar bukan sekadar kekurangan dana, tetapi kegagalan pengurusan berpusat yang tidak memahami konteks geografi dan cabaran Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan autonomi pendidikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 mampu menjadi penyelesaian lebih efektif dalam membangunkan sistem pendidikan negeri.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuk membolehkan Sabah mengurus sendiri peruntukan pendidikan tanpa birokrasi persekutuan yang didakwa menjadi punca projek sekolah daif sering lewat atau terbengkalai.
Selain itu, autonomi juga dilihat mampu membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar pendidikan dan bantuan yang lebih bersasar kepada golongan B40 serta pelajar tercicir, khususnya di kawasan pedalaman.
“Sabah memerlukan sistem pendidikan yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir untuk industri tempatan, bukannya sekadar menghasilkan graduan untuk pasaran luar negeri.
“Tanpa kuasa eksekutif di tangan Sabah, segala inisiatif kecil hanya akan menjadi ‘ubat penahan sakit’ tanpa menyelesaikan punca utama kelemahan sistem pendidikan kita,” katanya.