
Program tersebut dianjurkan bagi memberi penerangan kepada pihak berkepentingan mengenai kandungan dan implikasi enakmen baharu itu, sekali gus membantu industri dan masyarakat memahami reformasi penting yang bakal mengubah landskap pengurusan bangunan dan hartanah strata di Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan merangkap peguam, KC Chen yang merasmikan program tersebut memuji ADUN Likas, Tham Yun Fook dan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming kerana mengambil inisiatif segera menganjurkan sesi penerangan sejurus selepas enakmen tersebut diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.

Menurut beliau, tindakan proaktif kedua-dua wakil rakyat tersebut mencerminkan komitmen mereka dalam memastikan dasar yang diluluskan dapat difahami dengan baik oleh rakyat dan pihak industri.
“Building Management Enactment 2026 melibatkan hak dan kepentingan pemilik serta penghuni hartanah strata. Oleh itu, adalah penting untuk orang ramai memahami kandungan undang-undang ini seawal mungkin,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebagai seorang peguam profesional, beliau sentiasa bersedia membantu masyarakat yang mempunyai pertanyaan berkaitan enakmen tersebut agar mereka memperoleh maklumat undang-undang yang tepat.
Dalam sesi tersebut, Chin Tek Ming yang juga seorang peguam bersama perunding pengurusan hartanah, Ken Lo telah menyampaikan penerangan terperinci mengenai kandungan enakmen dan aspek pelaksanaannya sebelum sesi soal jawab bersama para peserta berlangsung.

Perbincangan menyentuh pelbagai perkara penting termasuk perubahan struktur tadbir urus pengurusan bangunan, akauntabiliti dan ketelusan kewangan, pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) serta penubuhan Commissioner of Building (COB).
Menurut penceramah, penubuhan COB dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sistem pengurusan strata di Sabah, meningkatkan kecekapan pengurusan serta melindungi hak pemilik hartanah.
Tham Yun Fook berkata sambutan yang diterima membuktikan masyarakat semakin prihatin terhadap isu pengurusan hartanah dan mahukan sistem yang lebih cekap, telus serta berintegriti.
“Kesanggupan peserta meluangkan masa pada hujung minggu untuk menghadiri sesi ini menunjukkan minat yang tinggi terhadap isu pengurusan strata dan keinginan rakyat untuk melihat sistem yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata Parti Warisan telah lama memperjuangkan pelaksanaan Building Management Enactment 2026 dan kelulusan enakmen tersebut merupakan satu pencapaian penting yang memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.
Menurut beliau, dengan adanya enakmen tersebut, pengurusan hartanah strata kini mempunyai kerangka perundangan yang lebih komprehensif serta memperjelaskan hak dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat.

“Kami, wakil rakyat Parti Warisan, akan terus berpegang kepada prinsip mengutamakan rakyat dengan memantau pelaksanaan enakmen ini serta memperjuangkan dasar-dasar yang membawa manfaat kepada rakyat dan pembangunan masyarakat agar hasil reformasi ini benar-benar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Para peserta turut menyatakan penghargaan terhadap sesi penerangan tersebut kerana membantu mereka memahami enakmen baharu itu dengan lebih mendalam serta berharap lebih banyak program seumpamanya dapat dianjurkan pada masa akan datang.
