Exco Wira Warisan Sabah merangkap Ketua Wira Warisan Kalabakan, Shaharizan bin Jikirun, berkata gesaan itu dibuat ketika keyakinan rakyat terhadap SPRM kembali menjadi perhatian susulan tindakan 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurut beliau, perkembangan tersebut menunjukkan bahawa rakyat mengharapkan SPRM di bawah kepimpinan baharu tampil lebih berani, telus dan bebas dalam mengendalikan semua kes berprofil tinggi.
“Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu perlu menjadi titik permulaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Institusi ini mesti membuktikan bahawa tiada siapa yang berada di atas undang-undang.”
Shaharizan berkata, antara kes yang masih menimbulkan persoalan sehingga hari ini ialah skandal perlesenan lombong Sabah yang pernah menggemparkan negara apabila beberapa rakaman video dikaitkan dengan dakwaan melibatkan lesen perlombongan, bayaran dan pengaruh politik.
Beliau berkata, isu itu turut menarik perhatian rakyat apabila lesen prospek melibatkan kawasan seluas kira-kira 70,000 ekar di Sabah menjadi tumpuan umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus dan pengurusan sumber mineral negeri.
Menurut beliau, sehingga kini hanya tiga individu telah didakwa di mahkamah walaupun sebelum ini dimaklumkan bahawa siasatan melibatkan lebih ramai individu dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui apakah status semua kertas siasatan yang telah dibuka. Adakah siasatan terhadap semua individu telah diselesaikan? Adakah kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara? Jika ada yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), apakah asas kepada keputusan tersebut?”
Beliau berkata, Wira Warisan Sabah tidak berniat membuat sebarang andaian terhadap mana-mana individu, sebaliknya menegaskan bahawa setiap siasatan perlu diselesaikan secara adil, profesional dan konsisten tanpa mengira kedudukan, jawatan atau pengaruh politik.
“Jika terdapat bukti yang mencukupi, tindakan undang-undang mesti diambil tanpa takut atau pilih kasih. Sebaliknya, jika tiada kesalahan ditemui, rakyat juga berhak mengetahui asas kepada keputusan tersebut. Ketelusan adalah syarat utama untuk memulihkan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.”
Shaharizan berkata, pertukaran kepimpinan SPRM tidak boleh menyebabkan kes berprofil tinggi seperti skandal lombong Sabah terus tergantung tanpa penyelesaian atau penjelasan kepada rakyat.
Menurut beliau, sumber mineral Sabah merupakan aset milik rakyat dan sebarang dakwaan berkaitan pentadbiran, pengeluaran atau pengagihan lesen perlombongan mesti disiasat sehingga selesai.
Sehubungan itu, Wira Warisan Sabah menggesa SPRM mengeluarkan satu kemas kini menyeluruh mengenai semua kertas siasatan berkaitan skandal perlesenan lombong Sabah dalam tempoh 60 hari, termasuk status siasatan, tindakan yang telah diambil serta perkembangan setiap kertas siasatan yang masih berbaki.
“Skandal lombong Sabah tidak boleh menjadi satu lagi kes berprofil tinggi yang perlahan-lahan hilang daripada perhatian umum tanpa akauntabiliti dan penjelasan. Rakyat Sabah berhak mendapat jawapan, manakala kebenaran, keadilan dan integriti institusi penguatkuasaan mesti terus dipertahankan.”