TERKINI
WARISAN HORMATI KEPUTUSAN PEMIMPIN KELUAR PARTI, FOKUS PERKUKUH ORGANISASI MENJELANG CABARAN MENDATANG
Politik 3 min baca 781 tontonan

WARISAN HORMATI KEPUTUSAN PEMIMPIN KELUAR PARTI, FOKUS PERKUKUH ORGANISASI MENJELANG CABARAN MENDATANG

Ringkasan

Parti Warisan Sabah menjelaskan bahawa keputusan beberapa pemimpin termasuk bekas Ahli Majlis Tertinggi, Taib Isai meninggalkan parti bukan sesuatu yang mengejutkan. Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menegaskan parti menghormati keputusan tersebut, namun mengingatkan bahawa tuduhan terhadap kepimpinan parti adalah tidak adil dan tidak matang. Warisan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi parti di semua peringkat.

Admin
Admin
Kenyataan Media

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah memaklumkan bahawa keputusan beberapa pemimpin termasuk bekas Ahli Majlis Tertinggi parti, Taib Isai untuk meninggalkan Warisan telah dijangkakan lebih awal memandangkan perkembangan tersebut mula berlaku selepas pengumuman calon dalam pilihan raya yang lalu.

Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata parti menghargai segala sumbangan dan komitmen yang telah diberikan oleh mereka sepanjang berada dalam Warisan.

Menurut beliau, Warisan turut merakamkan penghargaan khusus kepada Taib Isai yang sebelum ini merupakan antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Parti menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan sepanjang mereka bersama Warisan. Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka kepada perjuangan parti selama ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa walaupun parti menghormati hak setiap individu untuk menentukan haluan politik masing-masing, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak meninggalkan parti dan kemudiannya membuat pelbagai tuduhan terhadap kepimpinan parti.

“Keputusan untuk meninggalkan Warisan adalah hak individu yang tidak boleh dihalang oleh parti. Namun begitu, adalah tidak adil dan tidak matang untuk membuat pelbagai tuduhan terhadap kepimpinan parti selepas membuat keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata setiap pemimpin juga perlu memahami bahawa proses pemilihan calon melibatkan ramai individu yang layak untuk bertanding, namun parti hanya mempunyai jumlah kerusi yang terhad untuk dipertandingkan.

“Ramai pemimpin yang layak menjadi calon, tetapi akhirnya parti hanya dapat memilih 73 calon untuk mewakili Warisan dalam pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, Loretto menyeru seluruh kepimpinan Warisan termasuk jentera akar umbi agar terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi parti di peringkat cawangan dan bahagian.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah parti politik tidak hanya bergantung kepada jawatan yang disandang, tetapi kepada kemampuan untuk membina sokongan rakyat dan memperkukuh organisasi di peringkat akar umbi.

“Tiada gunanya memegang jawatan ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekiranya tidak mampu memastikan kemenangan di kawasan sendiri. Apa yang lebih penting ialah kerja organisasi dan kekuatan parti di lapangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Bahagian Kudat yang selama ini berstatus Bahagian Penaja akan diberikan perhatian khusus bagi memastikan struktur organisasi parti terus diperkukuh.

Menurut beliau, beliau sendiri akan turun ke Kudat dalam masa terdekat untuk membuat persiapan bagi mesyuarat cawangan-cawangan dan Bahagian Warisan di kawasan tersebut.

Loretto turut mengingatkan bahawa penghijrahan pemimpin merupakan perkara biasa dalam dunia politik dan telah berlaku dalam pelbagai parti sejak dahulu lagi.

“Dalam politik, pemimpin datang dan pergi. Namun hanya pemimpin yang benar-benar berpegang kepada perjuangan parti akan terus berdiri bersama ketika parti menghadapi cabaran dan memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Warisan akan terus bergerak ke hadapan dengan memberi fokus kepada pengukuhan organisasi serta persiapan menghadapi cabaran politik yang akan datang demi meneruskan perjuangan membela hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk