Menurut beliau, pendekatan baharu tersebut merupakan penambahbaikan yang ketara berbanding pelaksanaan terdahulu yang dianggap rumit dan tidak selari dengan realiti kehidupan rakyat Sabah.
Junz berkata sebelum ini beliau pernah membangkitkan kebimbangan apabila Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diperluaskan kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda dan pikap yang digunakan dalam sektor pengangkutan darat, namun rakyat Sabah masih perlu berdepan pelbagai syarat pendaftaran yang menyukarkan.
“Ketika itu saya menegaskan bahawa dasar tersebut gagal memahami realiti kehidupan rakyat Sabah. Di negeri ini, kenderaan pacuan empat roda dan pikap bukan barang mewah, tetapi satu keperluan harian kerana keadaan jalan raya dan sistem pengangkutan awam yang masih terhad,” katanya.
Beliau berkata keputusan kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi yang lebih mudah menunjukkan bahawa Putrajaya sebenarnya mampu bertindak pantas apabila kelemahan sesuatu dasar dikenal pasti.
Namun begitu, beliau mempersoalkan mengapa keupayaan yang sama tidak digunakan untuk menyelesaikan masalah jurang kos sara hidup yang telah lama membebankan rakyat Sabah.
“Jika Kerajaan Persekutuan boleh menyusun semula sistem subsidi diesel di seluruh negara dalam tempoh yang singkat selepas menerima maklum balas rakyat, mengapa jurang kos yang telah membebankan Sabah selama berdekad-dekad masih gagal ditangani secara menyeluruh?” katanya.
Menurut beliau, lebih enam dekad selepas pembentukan Malaysia, rakyat Sabah masih terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk pelbagai keperluan asas termasuk makanan, bahan pengguna, bahan binaan, pengangkutan dan logistik berbanding rakyat di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata pelbagai program penyelarasan harga dan subsidi pengangkutan yang diperkenalkan sebelum ini hanya menangani simptom masalah tanpa menyelesaikan punca sebenar.
“Sabah masih berdepan kos logistik yang tinggi, kos penghantaran yang mahal, kekurangan infrastruktur, kelemahan rantaian bekalan serta asas perindustrian yang terhad. Selagi masalah struktur ini tidak diselesaikan, rakyat Sabah akan terus menanggung kos yang lebih tinggi,” katanya.
Junz turut menegaskan bahawa jurang kos sara hidup bukan sahaja wujud antara Sabah dan Semenanjung, malah turut berlaku antara kawasan bandar dan luar bandar dalam Sabah sendiri.
Menurut beliau, penduduk di daerah pedalaman dan kawasan luar bandar seperti Pitas, Tongod, Nabawan, Kalabakan dan Beluran berdepan kos yang jauh lebih tinggi akibat faktor pengangkutan dan logistik.
Beliau berkata rakyat Sabah menyumbang kepada negara sebagai rakan yang setara dalam Persekutuan Malaysia dan berhak menerima perhatian yang sama daripada Kerajaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah membayar cukai pendapatan yang sama. Syarikat-syarikat di Sabah membayar cukai korporat yang sama. Kita menyumbang kepada tabung negara yang sama. Oleh itu, Sabah berhak diberikan keutamaan yang setara dalam menangani cabaran kos sara hidup,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Putrajaya merangka strategi komprehensif jangka panjang bagi merapatkan dan akhirnya menghapuskan jurang kos antara Sabah dan Semenanjung melalui peningkatan kecekapan pelabuhan, pembangunan infrastruktur logistik, jaringan pengangkutan yang lebih baik, pembangunan industri serta pengukuhan rantaian bekalan luar bandar.
“Rakyat Sabah tidak meminta layanan istimewa. Apa yang diminta hanyalah layanan yang adil. Jika Putrajaya boleh menggerakkan seluruh jentera kerajaan untuk menyusun semula subsidi diesel dalam masa beberapa bulan, maka tidak ada alasan untuk membiarkan jurang kos yang telah lama membebankan Sabah terus berlarutan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat Sabah perlu diberikan perhatian yang sama seperti rakyat di bahagian lain negara.