Beliau berkata insiden yang dilaporkan berlaku pada 30 Jun lalu perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa sebarang gangguan bekalan elektrik di fasiliti kesihatan memerlukan tindakan yang pantas dan berkeutamaan tinggi kerana ia melibatkan keselamatan serta kesejahteraan pesakit.
“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa kegagalan fius merupakan kerosakan teknikal yang tidak dijangka dan boleh berlaku walaupun langkah-langkah pencegahan telah diambil. Tiada mana-mana pihak yang wajar dipersalahkan semata-mata atas berlakunya kerosakan tersebut. Namun begitu, apabila gangguan seperti ini melibatkan sebuah fasiliti kesihatan kritikal yang menyediakan rawatan untuk menyelamatkan nyawa, tindakan balas dan usaha pemulihan bekalan elektrik mesti diberikan keutamaan tertinggi.”
Menurut Chin, berdasarkan laporan, pusat hemodialisis berkenaan telah menghubungi SESB sebaik sahaja bekalan elektrik terputus sekitar jam 11 pagi. Pesakit yang terjejas turut dilaporkan menghubungi syarikat utiliti itu bagi mendapatkan bantuan, namun juruteknik hanya tiba di lokasi sekitar jam 2.30 petang.
Beliau berkata sekiranya laporan tersebut benar, SESB perlu menilai semula sama ada prosedur tindak balas kecemasan sedia ada benar-benar mencukupi bagi menangani gangguan yang melibatkan hospital, pusat dialisis dan fasiliti kesihatan penting.
“Menurut laporan tersebut, pihak pusat hemodialisis telah menghubungi Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) sebaik sahaja bekalan elektrik terputus sekitar jam 11 pagi. Pesakit yang terjejas juga dilaporkan turut menghubungi syarikat utiliti itu bagi mendapatkan bantuan. Walau bagaimanapun, juruteknik hanya tiba di lokasi sekitar jam 2.30 petang. Sekiranya fakta ini benar, timbul persoalan serius sama ada prosedur tindak balas kecemasan SESB benar-benar mencukupi bagi menangani insiden yang melibatkan hospital, pusat dialisis dan fasiliti kesihatan penting yang lain.”
Beliau turut menegaskan bahawa rawatan hemodialisis bukanlah satu perkhidmatan yang boleh ditangguhkan tanpa implikasi kerana ramai pesakit bergantung kepada rawatan berjadual untuk meneruskan kehidupan mereka.
Sehubungan itu, Chin menggesa SESB menjalankan semakan menyeluruh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan gangguan bekalan elektrik yang melibatkan infrastruktur awam kritikal. Beliau turut mencadangkan supaya satu protokol tindak balas kecemasan khusus diwujudkan bagi memastikan fasiliti kesihatan menerima keutamaan dalam setiap operasi pemulihan bekalan elektrik.
“SESB juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan satu protokol tindak balas kecemasan khusus bagi fasiliti kesihatan, termasuk mekanisme eskalasi yang jelas, sistem penghantaran pasukan teknikal secara keutamaan serta saluran komunikasi terus dengan hospital, pusat dialisis dan pengendali fasiliti kesihatan. Langkah ini penting bagi memastikan kes-kes yang melibatkan nyawa mendapat perhatian segera tanpa kelewatan yang tidak sepatutnya.”
Pada masa sama, beliau berkata sekiranya SESB berdepan kekurangan tenaga kerja atau sumber sehingga menjejaskan keupayaan bertindak balas terhadap situasi kecemasan, Kerajaan Negeri perlu menyediakan sokongan yang sewajarnya bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau turut menggesa SESB memberikan penjelasan secara telus mengenai kronologi kejadian, termasuk masa laporan pertama diterima, tindakan yang telah diambil serta sama ada sasaran masa tindak balas berjaya dipenuhi.
“Kebajikan pesakit mesti sentiasa menjadi keutamaan. Kita tidak boleh membiarkan pesakit yang memerlukan rawatan kritikal menunggu selama berjam-jam hanya kerana kelewatan menangani gangguan bekalan elektrik”, ujarnya
Chin berkata insiden tersebut perlu dijadikan pemangkin kepada penambahbaikan sistem tindak balas kecemasan SESB supaya gangguan bekalan elektrik yang melibatkan hospital, pusat dialisis dan fasiliti kesihatan lain dapat ditangani dengan lebih pantas, berkesan dan mengutamakan keselamatan pesakit.